'Jangan cepat menghukum skrip sebagai sampah'
Tidak wajar mana-mana pelakon menjatuhkan hukuman terlalu cepat ke atas sesuatu skrip yang diterima, termasuk menganggapnya "sampah".
Pelakon berpengalaman, Faizal Hussein, berkata langkah itu - jika tidak dilakukan dengan pertimbangan sewajarnya - akan menyebabkan seseorang aktor dipandang sebagai takut menyahut cabaran.
“Tidak adil untuk menilai satu-satu skrip itu sebagai sampah. Jika pelakon berkenaan mudah sangat membuat anggapan sedemikian, dia seorang yang mudah takut pada diri sendiri.
“Ini kerana pelakon itu sebenarnya cuma berani melibatkan diri dalam projek yang dilihat bagus, membariskan pelakon hebat atau mempunyai dana besar saja.
“Itu saja keberanian yang dimiliki golongan pelakon seperti itu,” katanya kepada Malaysiakini.
Faizal diminta pandangannya untuk mengulas tanggapan pelakon baru yang berpendapat sebahagian besar skrip filem oleh penulis tempatan tidak berkualiti.
Pelakon berkenaan, Aiman Hakim Redza, 29, juga berkata dia tidak gentar sekiranya namanya disenaraihitamkan oleh mana-mana pihak ekoran teguran yang disuarakan kepada media baru-baru ini.
Ditemui semasa sesi pratonton eksklusif filem TV The Hantus di Kuala Lumpur kelmarin, Faizal berkata sesuatu skrip yang dianggap hambar boleh berubah menjadi karya yang baik dengan kreativiti pengarah, malah pelakon.
Katanya hasil yang lebih baik dapat ditampilkan dengan garapan seni serta unsur dramatik.
Menurut Faizal, 51, dia sendiri sebenarnya pernah beberapa kali diberikan skrip yang dianggap kurang memuaskan namun hasil akhirnya berubah seawal dia tiba di set penggambaran.
“Saya pernah membaca skrip yang gersang, tak bermaya tetapi selepas disiapkan karya itu berjaya merangkul anugerah.
“Ia sebenarnya perlukan kerja berpasukan. Jika pelakon banyak idea, ia boleh sumbangkan kepada pengarah,” katanya yang mula dikenali melalui filem Gila-Gila Remaja dan diingati kerana keberkesanan lakonannya sebagai Ilham Ibrahim dalam Bunohan.

