Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lepas kena carut, Trump kecam De Niro lelaki mereng
Diterbitkan:  Jun 13, 2018 9:43 PM
Dikemaskini: 1:50 PM

Donald Trump tidak perlu menunggu lama untuk membidas pelakon Robert De Niro yang sebelumnya mengeji dia dengan kata-kata lucah.

Kira-kira 36 jam selepas De Niro melafazkan ungkapan mencarut buat Trump, presiden AS terbabit membalasnya dengan kecaman yang tidak kurang pedasnya.

Melalui ciapannya di Twitter, Trump mengecam De Niro sebagai seorang lelaki yang memiliki tahap pemikiran paling cetek.

“Robert De Niro orang yang memiliki tahap pemikiran sangat cetek. Dia menerima terlalu banyak pukulan daripada petinju dalam filem dilakonkannya.

“Saya sudah menyaksikan caciannya malam tadi dan dia mungkin mabuk,” katanya seperti dipetik The Guardian.

Terdahulu De Niro berada di atas pentas untuk menyampaikan ucapan sempena majis Anugerah Tony ke-72 pada 10 Jun lalu. Anugerah itu diadakan sebagai pengiktirafan terhadap persembahan Broadway sepanjang tempoh 2017 dan 2018.

Ia diadakan di New York, AS.

Semasa berucap di depan ratusan orang - serta disaksikan jutaan yang lain melalui siaran langsung di TV, De Niro berkata: "Saya nak cakap satu benda. F**k Trump."

Pernah digelar orang gila

Kata-kata De Niro mendapat sambutan hangat malah penonton yang ada di dalam dewan berkenaan berdiri sambil bertepuk tangan sebagai tanda menyokong aktor terbabit.

Pulang dari Singapura selepas bertemu pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, Trump terus membalas kecaman ke atasnya itu.

Sambil berlagak untuk bercakap mengenai ekonomi dalam ciapan seterusnya, Trump berkata: “Saya fikir dia tidak menyedari ekonomi pada tahap ini berada pada kedudukan terbaik dengan peluang pekerjaan tinggi dan banyak syarikat kembali ke negara kita.

“Sedarlah, punchy!” katanya.

Untuk rekod, De Niro memang beberapa kali sudah membawa watak sebagai petinju. Antaranya menjadi Jake LaMotta dalam Raging Bull - filem yang melayakkannya memenangi Anugerah Acedemy.

De Niro antara selebriti yang lantang mengkritik pentadbiran Trump. Pada 2016, De Niro menyifatkan ahli politik Republikan itu sebagai “orang gila.”

De Niro turut mendakwa kerajaan AS sudah bertukar menjadi gagal dan bebal di bawah pimpinan Trump. Ketika itu De Niro baru memulakan ucapan di sebuah universiti.

De Niro turut menggesa anak muda yang sudah tamat belajar untuk bekerja dengan gigih bagi menamatkan kegilaan pentadbiran Trump.


Baca De Niro: Trump babi, anjing, bodoh


Aktor yang turut dikenang melalui filem The Godfather II, Goodfellas dan Heat itu adalah selebriti terbaru dipetik Trump dalam persengketaannya yang sering berlaku di media sosial sejak beliau memegang jawatannya sebagai presiden.

Sebelum ini Trump pernah menyerang pelakon Alec Baldwin kerana meniru gayanya sewaktu rancangan Saturday Night Live.

Trump juga pernah mengambil tindakan sama terhadap Meryl Streep yang mengutuknya pada Anugerah Golden Globes 2017.

Tidak ketinggalan pemain bola keranjang NBA, Stephen Curry yang mendedahkan pasukannya, Golden State Warriors, mungkin tidak akan melawat White House kerana di situ ada Trump.

Lihat Komen
ADS