Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kisah gadis tudung sape dari Utara Sarawak
Diterbitkan:  Jun 14, 2018 9:34 AM
Dikemaskini: 1:38 AM

Siapa sangka gadis bertudung litup kelahiran Limbang yang mula bermain sape dengan hanya belajar sendiri melodi lagu termasuk menerusi laman Youtube ini, kini adalah antara ‘nama besar’ pemain alat muzik tradisi bertali masyarakat Orang Ulu itu di Sarawak.

Kemahiran dimiliki Nurul Syafiqah Yusop itu pantas dikesan pengasas Kumpulan Tuku’ Kame’ yang juga Pengarah Muzik Kampung Budaya Sarawak (SCV) Narawi Rashidi seterusnya dijemput untuk bersama lima rakan membentuk kumpulan Ilu Leto (Kami, Para Gadis) sempena Festival Musim Menuai Sedunia 2017.

Lima lagi anggota kumpulan tersebut ialah Alena Murang (berbangsa Kelabit); Munirih Jebeni (berbangsa Iban); Rosemary Colony Joel Dunstan (berbangsa Iban); Elizabeth Bungan Peter (berbangsa Kenyah dan Beketan) dan Tasneem Bolhassan (berbangsa Melayu).

Mengimbau kembali perjalanan seninya, Nurul Syafiqah, 29, berkata kerana terlalu minat untuk belajar alat muzik bertali itu, beliau meminjam sape' milik bapa rakannya yang disifatkan sebagai perjalanan pertamanya dalam bidang muzik itu sekitar 2012.

Katanya selain itu, minat beliau kepada alat muzik tersebut juga timbul kerana lagu-lagu daripada pemain sape dan penyanyi Iban terkenal, Jerry Kamit yang juga dikatakan bertanggungjawab membawa pembaharuan serta nafas baharu dalam petikan sape.

Bercakap kepada Bernama, gadis berdarah campuran Melayu, Cina dan Iban itu berkata motivasi beliau terus meningkat apabila idolanya Jerry Kamit menghadiahkan sebuah sape berukuran kecil pada hari kelahiran ke-23.

"Dengan menggunakan sape ini, saya belajar sendiri bermula dengan mencari melodi lagu kerana saya belajar hanya melalui pendengaran sahaja dan tidak berdasarkan nota muzik atau bantuan guru. Saya banyak belajar melalui lagu-lagu yang sering dimainkan Jerry Kamit seperti lagu Leleng, Lan e’ dan Datun Julud," katanya yang menghabiskan masa sekitar satu hingga tiga jam ketika berlatih.

Melihat kepada 'minat' terhadap alat muzik itu semakin mendalam, Nurul Syafiqah berkata beliau seterusnya menempah sebuah sape yang dihasilkan oleh pembuat serta pemain sape dari Kampung Budaya Sarawak iaitu Mohd Hafiz Abdullah@Francis Kujen.

"Reka bentuk sape yang saya tempah ini adalah mengikut rekaan dan cita rasa saya. Dari segi bentuk dan corak, saya masih lagi mengekalkan sape yang berbentuk tradisional dan meletakkan ‘tuning head machine’ kayu sebagai perhiasan.

"Selain daripada belajar sendiri , saya juga belajar melalui laman Youtube. Video yang dihasilkan oleh Hezekiah Asim banyak membantu dalam proses pembelajaran dan beliau boleh disifatkan sebagai idola kedua saya selepas Jerry Kamit," katanya yang kini memiliki enam sape.

Ditanya mengenai Ilu Leto, Syafiqah berkata nama kumpulan tersebut membawa erti Ilu ‘kami’ dan Leto bermaksud ‘gadis’ atau ‘perempuan’ di dalam bahasa Kenyah bertujuan bagi memperkenalkan pemain sape wanita.

“Sejak ditubuhkan Ilu Leto sering dijemput untuk mengadakan persembahan antaranya seperti di World Harvest Festival 2017, Kampung Budaya Sarawak, Rainforest World Music Festival 2017, Dorsett Grand Subang, Selangor, September 2017 dan Borneo Youth Sape Festival Sibu, Sarawak Disember 2017,” katanya.

Melahirkan rasa syukur kerana sentiasa mendapat sokongan anggota keluarga terutama ibu dan bapa terhadap minat bermain sape, Syafiqah berkata jika dijemput untuk persembahan solo, ibu akan menjadi pembantu peribadi beliau manakala ayahnya pula akan jadi pemandu dan mengatur segala perjalanan mereka.

- Bernama

Lihat Komen
ADS