Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Waris nak kurangkan berlakon, banyak gauli muzik

Penyanyi yang terkenal dengan loghat Negeri Sembilan, Waris, berharap peminat boleh menerima keputusannya untuk mengurangkan kemunculan sebagai pelakon.

Meskipun tidak dapat memberi kata putus sama ada ingin menamatkan sepenuhnya kerjaya sebagai pelakonan atau tidak, Waris mengaku dia sebenarnya lebih selesa memberikan tumpuan kepada menghasilkan lagu-lagu hip hop dengan mengetengahkan loghat Negeri Sembilan.

“Saya tidak berani nak menjawab soalan itu, cuma saya selalu berpegang kepada pesan mak dan ayah yang mahu saya buat apa yang disukai.

“Saya bukan tak mahu berlakon, cuma minat lebih cenderung kepada muzik, justeru kalau ada tawaran menjengah juga, saya akan cuba elak-elakkan.

“Kalau boleh saya ingin menumpukan perhatian kepada banyak kerja-kerja studio selepas ini,” kata pemilik nama asal Muzzammil Alias itu.

Waris ditemui pada majlis pratonton filem This Is Pilah: The Movie di Mutiara Damansara, Petaling Jaya semalam.

Penyanyi Rembau Most Wanted itu turut membuat kemunculan untuk This is Pilah: The Movie.

Peminat boleh faham

Filem bergenre komedi drama arahan Rosdi Md Dali yang menggunakan sepenuhnya dialek Negeri Sembilan itu menemui penonton di layar perak bermula semalam.

Filem berkenaan turut menyaksikan penampilan khas bekas ahli parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hassan Malek, Ito Blues Gang dan Syamsul Debat.

Selain itu pelakon lain ialah Juzzthin, Zaidatul Iesna, Kazar, Joey Daud dan Ebby Yus.

Ditanya sama ada keputusannya mahu mengelak berlakon itu bakal mengecewakan peminat, Waris berkata ia bukanlah kali pertama dia menolak permintaan sebegitu.

Menurut Waris, biasanya peminat yang sering mengikuti perjalanan karier seninya amat memahami.

“Sebelum ini pernah banyak kali cakap kepada peminat, mereka sudah faham dan sudah biasa.

“Apabila saya tolak, peminat diharap faham dan biarkan apa yang dibuat itu relevan,” katanya.

Lihat Komen
ADS