Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Juzzthin yang 'rendang' dan kepercayaan yang besar

Pelakon bertubuh sasa atau mempunyai ketinggian tertentu lazimnya menjadi pilihan pengarah untuk mendukung watak utama dalam sesebuah filem.

Namun untuk naskhah berjudul This Is Pilah: The Movie watak itu digalas seorang pelakon yang mempunyai tubuh kecil, Juzzthin.

Mengulas isu berkenaan, Juzzthin yang lebih dikenali sebagai penyanyi rap itu berkata, saiz fizikal tidak sepatutnya menjadi ukuran kepada bakat atau kemampuan seseorang menyempurnakan sesuatu tugas.

Malah katanya, ketika ini salah seorang menteri Malaysia juga bertubuh kecil, iaitu Dr Maszlee Malik.

“Kalau kita lihat menteri pendidikan sekarang tak tinggi mana pun, tetapi jawatan yang dipikulnya itu cukup besar," katanya.

Juzzthin menambah peminat filem sudah terlalu biasa disuap dengan aktor bertubuh besar, seperti Shah Rukh Khan, Zul Ariffin atau Shaheizy Sam, atau tinggi seperti Fattah Amin.

“Saya ini rendang saja orangnya, tetapi syukur Rosdi Md Dali sebagai pengarah memberikan kepercayaan membawa watak utama.

"Sebenarnya bukan mudah untuk mengubah persepsi stereotaip itu,” katanya.

Pernah putih mata

Juzzthin, 28, ditemui pada sidang media pratonton filem This Is Pilah: The Movie di Mutiara Damansara, Petaling Jaya kelmarin.

This Is Pilah: The Movie digarap 100 peratus menggunakan dialek Negeri Sembilan dan mengangkat kisah mengenai perkahwinan sama suku yang tidak digalakkan.

Filem itu yang menemui penonton di pawagam mulai 21 Jun turut dijayakan pelakon seperti Siti Zaidatul Isna, Kazar, Joey Daud, Eliza Mustafa, Joey dan Ebby Yus.

Untuk rekod, Maszlee ialah ahli akademik menyertai politik menjelang PRU ke-14 pada 9 Mei lalu.

Bertanding mewakili Pakatan Harapan, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu dipertaruhkan untuk kerusi parlimen Simpang Renggam.

Dia muncul pemenang dengan mengalahkan penyandang kerusi berkenaan Datuk Liang Teck Meng dengan majoriti hampir 4,000 undi.

Hati ada sejuk

Berkongsi lebih lanjut pembabitannya sebagai pelakon, Juzzthin mendedahkan dia pernah berputih mata walaupun untuk menjayakan watak sampingan - sebagai anggota polis - dalam filem J Revolusi.

Kegagalan itu katanya berpunca daripada saiz badannya yang tidak sesuai membawa watak berkenaan.

“Walaupun pihak produksi memang mahukan saya, pihak polis sendiri berkata lakonan itu tidak akan nampak meyakinkan kerana saiz tubuh tidak sesuai untuk watak seorang anggota keselamatan," katanya yang terpaksa akur dengan keputusan itu.

Sebenarnya, walaupun bertubuh kecil, pemilik nama sebenar Mohd Nazreen Norzali itu mengakui dia tetap mendambakan watak-watak yang mampu membawa teladan kepada masyarakat secara tidak langsung, seperti penjahat atau samseng.

Malah dengan kemunculan Malaysia baru selepas 9 Mei lalu, pelakon siri komedi pendidikan Oh My English! itu memasang harapan agar banyak pembaharuan dapat dilaksanakan kerajaan, terutama bagi memecah kelaziman tertentu dalam pembikinan filem.

“Bukan mudah, tetapi saya bersyukur dapat mengubah stereotaip. Hati saya lebih sejuk semasa nak memulakan penggambaran sebab dapat berlakon dalam filem berkisahkan kampung sendiri,” katanya.

Lihat Komen
ADS