Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Finas perlu dibaik pulih sepenuhnya, kata menteri

Perbadanan Pembangunan Filem Nasional (Finas) perlu dibaik pulih terutama mengenai pengurusan kewangannya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata terdapat aduan beberapa pembuat filem menerima dana daripada Finas tetapi tidak menyiapkan projek mereka, sementara yang lain mengadu peruntukan yang diterima tidak mencukupi selain menghadapi masalah lain.

"Sistem kita sekarang nampaknya tidak mampu memastikan semua dana digunakan dengan betul dan digunakan sepenuhnya.

"Saya mendengar (masalah) Finas. Saya faham masalah mereka. Tetapi pada masa yang sama, saya juga bercakap dengan ramai orang dari industri yang mempunyai kebimbangan mereka," kata Gobind kepada wartawan hari ini selepas lawatan ke pejabat Finas di Petaling Jaya.

Lawatan beliau dibuat hampir seminggu selepas mengumumkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat beberapa peruntukan oleh Finas pada tahun 2017.

Ditanya perkembangan mengenai perkara itu, Gobind berkata beliau telah dimaklumkan oleh SPRM bahawa beberapa kenyataan telah direkodkan untuk siasatan.

Maklumat lain katanya, perlu diumumkan oleh SPRM kerana berisiko menjejaskan siasatan.

Gobind berkata beliau telah mengarahkan Finas menyediakan laporan pembiayaannya dalam masa dua minggu, termasuk kajian bagaimana badan perfileman dari luar negara mengendalikan dana mereka.

Gobind berkata beliau juga memberitahu Finas agar menyenaraikan penerima dana yang telah menerima anugerah antarabangsa, serta mereka yang tidak dapat menyiapkan projek yang telah dibiayai.

Beliau mahu mesyuarat diadakan antara kumpulan pemegang kepentingan dan Finas untuk membincangkan bagaimana badan itu boleh menguruskan dana dan peruntukan dengan lebih baik.

Mesyuarat itu mungkin diadakan selepas sesi parlimen yang akan datang, katanya.

Sesi pertama Dewan Rakyat akan berlangsung dari 16 Julai hingga 16 Ogos, sementara Dewan Negara bersidang dari 17 Julai hingga 13 Sept.

Ditanya mengenai isu penapisan filem, Gobind berkata beliau akan berurusan dengan Lembaga Penapisan Filem (LPF) pada pertemuan berasingan, dan perkara ini tidak dibincangkan pada pertemuan hari ini dengan Finas.

Lihat Komen
ADS