Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Walau dapat bayaran rendah, Azhan enggan jadi 'pembangkang'

Biarpun sudah 12 tahun bergelumang dalam dunia seni serta dikenali sebagai pelakon serba boleh, ia tidak menjamin pulangan setimpal buat Azhan Rani.

Dia yang memberikan lakonan berkesan sebagai Ustaz Hamadi dalam drama popular Nur mendedahkan bayaran diterimanya sejak beberapa tahun ini masih di takuk lama, malah adakala lebih rendah daripada sepatutnya.

Namun dia berkata tidak ingin menjadi 'pembangkang' dengan terlalu banyak merungut, justeru sering memujuk dirinya agar tidak mudah berasa kecewa.

"Saya anggap perasaan negatif seperti itu hanya merendahkan motivasi sendiri, saya juga tidak mahu ambil jalan mudah dengan menjadi suara (seperti) pembangkang.

"Sikap terlalu suka bersungut akan menimbulkan perasaan yang tak bagus...Saya masih berjuang untuk meletakkan harga (yang memadai).

"Pada saya anak seni harus berjuang untuk mendapat apa yang diimpikan," katanya.

Pelakon berusia 42 tahun itu ditemui pada sidang media pengumuman filem terbarunya Bikin Filem di Petaling Jaya baru-baru ini.

Selain Azhan yang membawa watak pengarah bernama Rahim G, filem itu turut dibarisi pelakon Erra Fazira, Sherry Al Hadad, Sharifah Sakinah, Scha Al Yahya, Mark Adam dan Amerul Affendi.

Bikin Filem hasil arahan Mohd Hitler Zami dan dijangka menjengah pawagam selepas hari raya Aidil Fitri tahun depan.

Mengulas lanjut, pelakon filem KL Zombi dan Lelaki Harapan Dunia itu berkata dia tetap cuba memastikan bayaran yang ditawarkan pihak penerbit tidak terlalu rendah.

"Biasanya (bayaran) yang disasarkan tak pernah dapat. Tetapi saya tetap akan pastikan ia tidak mencapai paras kemiskinan, lebih baik tak berlakon daripada terus bersungut," katanya lagi.

Azhan juga tidak khuatir mahupun cemburu terhadap pelakon lain yang mendapat laluan mudah dan bayaran yang lebih tinggi kerana baginya rezeki setiap manusia sudah ditentukan Tuhan.

"Itu bahagian dia. Bezanya mungkin saya dapat karya yang bagus tetapi dia tidak," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS