Penyanyi dangdut terkenal Indonesia Inul Daratista mendedahkan dia ditimpa nasib malang apabila kehilangan cincin berlian bernilai Rp350 juta (RM99,490) ketika bersalaman dengan peminat.

Seorang pengguna Instagram memaparkan tangkap layar perbualan antara Inul yang berkongsi pengalaman buruk itu dengan seorang wanita melalui kiriman WhatsApp.

Menceritakan detik kehilangan cincin berharga tersebut, penyanyi Buaya Buntung itu berkata, kejadian terbabit hanya disedari selepas dia turun dari pentas ketika membuat persembahan.

Inul menceritakan cincin berkenaan sebelum itu dipakai di jari kelingking seperti dalam gambar yang dikirimkannya.

“Itu cincin aku pakai 1 karat di jari kelingking. Tadi bersalaman ditarik penonton. Hilang Rp350 juta mbaa baru sedar (sebelum) itu mahu disimpan dalam dompet,” katanya seperti dipetik tabloid.bintang.

Kisah kehilangan cincin berharga ratusan juta rupiah itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Ada yang lekas menjatuhkan hukuman dengan mengatakan  Inul mendapat balasan Tuhan kerana kurang bersedekah dan oleh sebab itu ditimpa nasib buruk.

“Mungkin itu teguran kecil dari Allah banyak sedekah dan jangan sombong..." tulis seorang netizen di Instagram.

Selain itu, ada juga peminat yang memintanya reda dengan kehilangan barangan kemas itu, malah tidak kurang juga yang menyindirnya.

“Fikir positif saja mbak Inul. Mungkin kurang beramal. Yang penting ikhlas," ujar seorang netizen.

“Mbak Inul kan orang kaya. Tinggal beli lagi. Semua jari boleh dipakaikan cincin,” sindir seorang lagi pengguna Internet.