Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
'Sikit lagi... saya kena bersabar'
Diterbitkan:  Jun 28, 2018 2:12 PM
Dikemaskini: 6:19 AM

Mahkamah Rendah Syariah menetapkan tarikh 12 Julai depan sebagai pelantikan hakam keluarga bagi menyelesaikan kes perceraian penyanyi Ziana Zain dan suaminya Armin Zaharin Ahmad.

Hakim Syarie, Mohd Nizar Mohtar menetapkan tarikh berkenan selepas Armin selaku defendan gagal hadir ke mahkamah tanpa memberi sebarang makluman.

Hakim turut mengeluarkan notis kehadiran kepada Armin, 53, bagi tarikh sebutan semula kes itu.

“Berdasarkan laporan (jawatankuasa pendamai) tersebut, kedua-dua mereka bersetuju bercerai secara baik dalam mahkamah bagi menyelesaikan kemelut itu, sekiranya tidak tercapai, disyorkan pembentukan sebuah jawatankuasa hakam selaras Seksyen 48 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

“Kedua-dua mereka tidak tinggal bersama sejak Februari lalu dan mahkamah percaya tanggungjawab tidak boleh dilaksanakan serta syiqa' (perbalahan suami isteri dalam perkahwinan) sering berlaku (sebelum ini).

“Kedua-dua pihak juga bersetuju hak-hak berkaitan suami isteri dan anak-anak akan diselesaikan nanti,” katanya dipetik Mstar.

Ziana, 50, hadir ke mahkamah diwakili Peguam Syarie, Yusfa Hanis Yusoff.

Harap selesai dengan baik

Sementara itu, penyanyi Madah Berhelah itu berkata dia reda dan terpaksa bersabar apabila perceraian berkenaan masih belum dapat diselesaikan seperti diharapkan.

Namun, Ziana yang juga terkenal dengan lagu seperti Kemelut Di Muara Kasih, Tiada Jodoh Antara Kita dan Terlerai Kasih itu berkata dia tetap akan mengikut prosedur ditetapkan mahkamah.

Malah Ziana yakin kes berkenaan dapat diselesaikan dengan baik sama ada cepat mahupun lambat.

“Kalau 20 tahun saya boleh bersabar, jadi sikit lagi... saya kena bersabar.

"Buat masa ini saya hanya ikut prosedur yang ditetapkan mahkamah dan saya berharap semuanya akan diselesaikan dengan baik,” katanya.

Ziana turut berharap suaminya dapat memberi kerjasama dengan baik dalam menyelesaikan perkara berkenaan.

Terdahulu, Armin didakwa menyebabkan kecederaan dan lebam dengan sengaja terhadap seorang anaknya dengan menggunakan rotan.

Dia didakwa melakukan perbuatan terbabit di rumahnya di Shah Alam pada malam 24 Februari lalu.

Armin didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Sekiranya disabit kesalahan, bekas pramugara itu boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau sebatan.

Ziana mengadu dan membuat laporan pada 27 Februari lalu, sebelum Armin ditahan pada Jumaat.

Ziana dan Armin mendirikan rumah tangga pada Mei 1998, hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat anak, Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Lihat Komen
ADS