Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Selepas burung, giliran pokok 'gagalkan' konsert Sheeran
Diterbitkan:  Jun 29, 2018 12:53 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

Hajat Ed Sheeran mahu mengadakan konsert buat peminatnya di Dusseldorf, German, terpaksa ditangguhkan apabila ia mendapat bantahan hebat daripada aktivis pemuliharaan alam sekitar.

Puncanya, jika cadangan asal itu diluluskan, mungkin ada banyak yang perlu dikorbankan, termasuk lebih 100 batang pokok yang ada di sekitar tapak tersebut.

Konsert penyanyi Shape Of You itu sepatutnya diadakan di kawasan parkir pada Julai depan.

Untuk menyediakan ruang mencukupi bagi peminat penyanyi terbabit aktivis alam sekitar menjangkakan akan ada pokok akan ditebang.

Justeru mereka membantah cadangan tersebut dan mendesak penganjur serta pihak berkuasa tempatan (PBT) memindahkan tapak konsert ke lokasi lain.

Penganjur, FKP Scorpio kemudian mengeluarkan kenyataan mereka bersetuju berpindah ke arena berdekatan bandar.

Tarikh tambahan juga akan diletakkan dalam jadual jelajah bagi menampung saiz lokasi yang lebih kecil berbanding tapak asal.

Awalnya parkir di Dusseldorf itu boleh menampung kehadiran 80,000 peminat serentak. Mengenai hampir 110 batang pokok yang akan ditebang pula, PBT berjanji untuk menggantikannya dengan menanam dengan lebih banyak pokok.

“Artis dan penganjur mahu memberi penjelasan secepat mungkin berhubung perkara berbangkit.

“Ed Sheeran tidak mahu mengecewakan peminat dan dalam jadual jelajahnya sudah diletakkan tarikh tambahan agar penukaran lokasi baru ke Arena Veltin di Gelsenkirchien berjalan lancar,” menurut kenyataan itu yang dipetik BBC.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan berkata, wang akan dikembalikan kepada peminat sekiranya mereka tidak mahu menonton persembahan tersebut di lokasi baru itu.

Ini bukan kali pertama tempat konsert Sheeran terpaksa diubah. Terdahulu ia dijadual mengambil tempat di Lapangan Terbang Essen-Mulheim, namun penganjur juga berdepan isu alam sekitar di situ.

Namun ia bukan disebabkan sejumlah pokok, tetapi kerana populasi burung tempatan, skylark - yang dianggap spesis terancam - mempunyai petempatan di kawasan berkenaan.

Konsert tersebut, kata pencinta alam sekitar, boleh mengakibatkan nyawa burung-burung berkenaan berada dalam bahaya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS