Pak Pandir sudah pergi buat selama-lamanya
Penyanyi yang pernah mempopularkan lagu Yang Remeh Temeh sekitar awal 1990-an, Pak Pandir, meninggal dunia di Hospital Kajang kira-kira jam 4.30 pagi tadi.
Pak Pandir - atau nama sebenarnya Azmi Ali - dimasukkan ke bahagian kecemasan hospital itu pada Selasa lalu kerana mengalami masalah tekanan darah rendah, buah pinggang dan paru-paru berair.
Sebelum itu, allahyarham sempat berkongsi mengenai status kesihatannya melalui hantaran di Facebook.
“Kepada semua peminat, kawan-kawan, keluarga dan sesiapa yang mengenali saya dan tertanya-tanya benarkah saya dimasukkan ke wad sekali lagi, ya! Betul, kerana masalah tekanan darah rendah, buah pinggang, kandungan air di paru-paru.
“Keadaan saya tidak stabil. Saya sekarang berada di Hospital Kajang, katil nombor 24, wad 2, tingkat 1. Doakan yang terbaik untuk saya," tulisnya awal pagi semalam.
Memetik laporan Harian Metro, penyanyi itu pernah dimasukkan ke hospital sama ekoran masalah "water retentation" dalam badan pada April lalu.
Keadaan itu menyebabkan Pak Pandir mengalami bengkak pada kedua-dua belah kaki.
Malah allahyarham juga mengalami batuk teruk sejak November tahun lalu dan menjalani pemeriksaan kesihatan kerana bimbang masalah dialami itu mungkin mempunyai kaitan dengan penyakit tibi.
Selepas menjalani beberapa ujian berkaitan, doktor akhirnya mengesahkan hal itu berpunca daripada keadaan jantungnya yang sudah mulai membengkak.
Pak Pandir juga sering mengalami masalah semput sewaktu melakukan aktiviti harian.
Akibat masalah kesihatannya itu, allahyarham dilaporkan tidak sempat melakukan aktiviti promosi album terbarunya yang sudah siap. Album itu memuatkan enam lagu puisi.
Pak Pandir yang aktif sebagai pemuzik jalanan di sekitar Putrajaya menetap di Kajang. Dia meninggalkan seorang isteri, Rosmi Salmiah dan tujuh anak serta tiga cucu.
Jenazah allahyarham disembahyangkan di Surau Annur Kantan Permai, Kajang pada jam 9.30 pagi dan kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan.

