Farid Kamil tangguh bedah lutut sebab enggan ganggu bicara
Pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil Zahari, yang menghadapi enam pertuduhan jenayah baru-baru ini menangguhkan pembedahan lutut yang dijadualkan Mei lalu atas faktor jadual kerja yang padat dan enggan mengganggu prosiding kes mahkamah.
Perkara itu dimaklumkan sendiri pelakon filem J Revolusi itu ketika ditemui di luar Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.
Farid Kamil sebelum itu menghadiri prosiding sebutan semula kes bagi pertuduhan yang dihadapinya.
"Saya perlu mendapatkan rehat yang panjang selama enam bulan sekiranya meneruskan prosedur pembedahan lutut.
"Keadaan itu tidak sesuai kerana akan menjejaskan karier saya, selain mengganggu tarikh perbicaraan mahkamah," katanya.
Sementara itu, dalam prosiding di hadapan Majistret Nurulhuda Zakariya, peguam Farid Kamil, Faizul Mohd Nasir memaklumkan pihaknya masih menunggu keputusan representasi dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan kesemua enam pertuduhan berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi kesemua pertuduhan tersebut.
Turut hadir pada prosiding pagi tadi ialah pelakon jelita yang juga isterinya iaitu Datin Diana Dianelle.
Pada 16 Jan lepas, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua dia didakwa sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf Ahmad, 35, seorang eksekutif akaun syarikat swasta, serta Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24, seorang anggota polis di Balai Polis Trafik Kota Damansara.
Bagi pertuduhan ketiga pula, Farid Kamil didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam yang sedang menjalankan tugas sebagai pegawai polis dengan niat menghalang beliau menjalankan tugasnya yang sah di sisi undang-undang.
Untuk pertuduhan keempat, Farid Kami didakwa berkelakuan tidak senonoh di balai polis dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Muhammad Nizam.
Sembilan hari kemudian Farid Kamil mengaku tidak bersalah menggunakan dadah jenis tetra hydrocannabinol (THC) dan pada 9 Mac pula, bapa kepada dua anak itu didakwa mereka keterangan palsu dalam laporan polis berhubung dianiaya tiga rakan artis yang meletakkan dadah ke dalam minumannya.
Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik bertindak sebagai pegawai pendakwa.
- Bernama

