Saharul guna duit MARA beli kereta untuk bakar semangat belajar
Pelakon Saharul Ridzuan tampil membuat penjelasan berhubung dakwaan dia menggunakan wang pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membeli kenderaan ketika masih bergelar seorang penuntut di sebuah kolej.
Kata Saharul, dia tidak berhasrat untuk menjadi contoh negatif kepada sesiapa ekoran salah tafsir ke atas luahan hati yang pernah dikongsi di akaun Instagram miliknya baru-baru ini.
Menurut Saharul, dia sebenarnya menggunakan wang berkenaan sebagai pemangkin demi belajar bersungguh-sungguh.
“Macam mana tak nak bayar pinjaman MARA, kena dapatkan senarai dekan 3.5 ke atas untuk tukarkan pinjaman kepada biasiswa.
“Bagaimana nak buat kalau tidak ada pembakar semangat, itu sebab saya wujudkan komitmen, dari situ berani pertaruhkan…
“Itu sebab beli kereta dan tak nak bayar duit pinjaman,” katanya melalui beberapa siri klip video dimuat naik di Instagram.
Mengulas lebih lanjut, kisah itu kata Saharul ia bermula sewaktu dia berada pada tahun kedua pengajiannya.
Tak minta dicontohi pun
Sebelum membuat keputusan menggunakan wang berkenaan, katanya, dia terlebih dahulu berfikir masak-masak perkara yang berkemungkinan berlaku selepas pengajian berakhir.
“Saya dah fikir selepas tamat pengajian apa yang akan dihadap. Pertama, macam mana saya nak bayar duit pinjaman MARA saya. Dalam anggaran RM45,000 sebab di swasta.
“Kedua kalau dah dapat kerja nak pergi kerja naik apa? Takkan naik motor, boleh la tapi kalau hujan bolehlah pakai baju hujan tapi kalau ada kereta kan senang boleh bergilir-gilir. Waktu itu ada motor,” katanya.
Bagaimanapun katanya dia hanya menggunakan sejumlah kecil wang diperolehi daripada MARA itu, selain menjual motosikal dimiliki bagi menampung kos pembayaran duit muka untuk membeli kenderaan jenis Perodua Viva diidamkannya.
Terdahulu Saharul berkongsi mengenai perjalanan hidupnya yang dulu menggunakan Viva sehingga Mercedes Benz ketika ini, namun masih beranggapan dia belum berjaya sepenuhnya kerana belum cukup amalan untuk akhirat.
Ia mengundang perhatian seorang netizen yang beranggapan seorang penuntut tidak wajar menggunakan wang pinjaman pengajian untuk kesenangan peribadi.
Disebabkan individu tersebut jugalah Saharul tampil membuat penjelasan panjang lebar berkenaan.
“Apa saya nak tekankan adalah saya masih belum berjaya tapi disebabkan mesej saudara saya akan jelaskan apa saya buat,” katanya.
Saharul berkata dia tidak menganggap apa yang dilakukannya itu sebagai salah.
Malah Saharul bersyukur disebabkan “kaedah” digunakan itu membuatkan dia mampu memperoleh keputusan cemerlang walaupun tidak meminta apa yang dibuatnya diteladani umum.
“Alhamdulillah syukur dengan izin Allah dapat 3.71 tetapi saya tak mintak orang mencontohi saya,” katanya.

