Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Police Entry dinyanyi Lizzy bukan sindir bekas PM

Kini tampil dengan single terbaru berjudul Police Entry, penyanyi Elizabeth Tan enggan lagu berkenaan dikaitkan dengan isu semasa atau tokoh yang tertentu, termasuk bekas perdana menteri yang kini dihadapkan dengan tuduhan jenayah di mahkamah.

Namun, Elizabeth - atau lebih mesra dipanggil Lizzy - itu berkata dia tidak dapat menolak sekiranya ada pendengar ingin mengaitkan lagu berkenaan dengan situasi dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, dia menyerahkan kepada umum untuk membuat penilaian masing-masing ke atas lagu berkenaan selain mencadangkan orang ramai mengikuti perkembangan kes terbabit melalui fakta-fakta sahih.

"Lagu itu bukan untuk bekas perdana menteri kita walaupun judulnya Police Entry. Kita boleh lihat situasi dalam negara sekarang sudah ditadbir kerajaan Pakatan Harapan.

"Apa yang beliau buat kita boleh periksa melalui tahap ekonomi kita. Fakta adalah fakta," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran lagu terbarunya itu di Kuala Lumpur hari ini.

Police Entry diinspirasikan daripada lagu permainan kanak-kanak tempatan.

Najib yang dikaitkan dengan skandal 1MDB berdepan tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahguna jawatanya berkaitan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Tuju lagu pada dia

Najib mengaku tidak bersalah atas semua kesalahan dan dibebas dengan ikat jamin RM1 juta yang dibayar dua kali.

Mendapat sentuhan Hael Husaini dan Ezra Kong, kata Elizabeth lagu itu sebenarnya didekasikan buat pemuda Melayu yang pernah menjalin hubungan cinta dengannya sebelum ini.

Katanya, percintaan itu menemui kegagalan disebabkan sikap pemuda terbabit yang disifatkan sebagai seorang penipu.

"Bekas kekasih banyak menipu, jadi saya tuju lagu ini pada dia," katanya.

Tahun lalu, Elizabeth pernah mendedahkan dia berdepan kemurungan hingga terlintas untuk mengambil nyawa sendiri kerana berasa tertekan.

Bagaimanapun, Elizabeth menemui kekuatan melalui ibunya yang sering memberi sokongan dan kekuatan untuk pulih selain mendapatkan khidmat pakar khidmat pakar kaunseling.

"Sekarang sudah pulih, dulu keluarga memang melarang bercinta dengannya tetapi saya degil, nasib baik mummy banyak bagi sokongan sampai mengambil cuti untuk menjaga Lizzy di rumah," katanya.

Dalam pada itu, Lizzy memasang harapan agar Police Entry dapat menarik hati peminat selepas hampir setahun dia tidak muncul dengan sebarang buah tangan terbaru.

"Saya bertuah dan bersyukur dapat bekerjasama dengan Hael dan Ezra kerana daya kreatif yang ada pada mereka dan tidak sabar untuk melihat sejauh mana Police Entry dapat membeli jiwa peminat," katanya.

Lihat Komen
ADS