Kalau artis ada masalah datang jumpa, kata Prism
Seseorang artis yang mendakwa Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (Prism Berhad) tidak melaksanakan tugas mengutip bayaran royalti perlu memahami apa yang sedang dialami badan itu.
Presiden Prism Berhad, Anuar Dahlan, berpendapat artis terbabit sepatutnya boleh menghubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan bukannya mengadu kepada media.
Mengulas kenyataan penyanyi malar segar Datuk Yusni Hamid kepada Malaysiakini, Anuar berkata ada banyak kekangan dihadapi badan terbabit dan ia perlu diatasi terlebih dulu.
“Saya minta dia hadir ke pejabat Prism Berhad sebab kami yang diberi mandat dan akan berusaha menjawab segala masalah dan pertanyaan.
“Saya nasihatkan sekiranya ada isu tidak berpuas hati, artis boleh menulis (mendokumentasikan aduan) untuk mendapatkan penjelasan daripada Prism Berhad berbanding memberi kenyataan kepada media.
“Atau kalau mahu cara lain, mereka boleh merujuk kepada tribunal MyIPO untuk penjelasan lanjut,” katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Malaysiakini menyiarkan keluhan Yusni yang mendakwa dia tidak menerima sebarang bayaran sejak beliau mendaftarkan diri sebagai ahli Prism Berhad pada 2011.
Bagaimanapun, menyanggah dakwaan Yusni Anuar menjelaskan Prism Berhad hanya didaftarkan pada 2012, manakala membuat kutipan royalti persembahan artis hanya dibuat setahun selepas itu.
MRM ada kutipan tiada
Dan melalui semakan dibuat, Anuar berkata, Yusni atau nama sebenarnya Aisah Mohd Shariff mendaftar sebagai ahli Prism Berhad pada 2014.
Yusni katanya hanya menyerahkan mandat kepada Prism Berhad mulai 17 Oktober pada tahun sama.
“Lagu beliau banyak dikeluarkan oleh sebuah stesen penyiaran dan mereka tidak pernah membayar pada kita walau sudah dituntut dan isu itu tidak pernah selesai.
“Ada artis tak faham hal ini, terutama apabila jika ada pihak yang melengah-lengahkan soal pembayaran hingga membabitkan undang-undang.
"Jika tidak faham, sila rujuk dulu dengan pihak kami,” katanya lagi.
Untuk rekod, Music Rights Malaysia Bhd (MRM) dilantik sebagai badan lesen tunggal untuk mengutip royalti untuk diagihkan kepada empat badan iaitu Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP), Recording Performers Malaysia Berhad (RPM), Prism Berhad dan Public Perfomance Malaysia Sdn Bhd (PPM) pada 1 Jan 2017.
Menurut Anuar, Prism Berhad tidak membuat sebarang kutipan sejak kerajaan menubuhkan MRM.
Katanya, fungsi badan itu dihadkan sebagai sebuah badan pelesenan untuk membuat agihan kepada pelaku.

