Sempena memperingati tarikh kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, perdana menteri itu menerima pelbagai ucapan dan kata-kata pujian daripada orang ramai.

Tidak ketinggalan, golongan penghibur yang biasanya tidak melibatkan diri dalam hal-hal politik secara langsung.

Antara mereka yang sempat dikesan Malaysiakini ialah Fathia Latiff - seorang daripada selebriti tempatan yang mengagumi perdana menteri itu.

Fathia turut mengiringi ucapannya dengan satu klip video ringkas di Twitter.

“Fathia ingin mengucapkan selamat hari ulang tahun untuk Tun Dr Mahathir. Fathia lihat Tun banyak mengorbankan masa dan tenaga Tun untuk kepentingan rakyat.

“Dan Fathia memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT dan Fathia mendoakan agar Tun dipanjangkan usia, diberi kesihatan baik, diberi semangat dan tenaga kuat menerajui Malaysia dengan berjaya.

“Selamat hari jadi Tun,” katanya.

 

 

Melalui semakan Malaysiakini setakat petang ini, video berkenaan ditonton lebih 13,000 kali dan mendapat lebih 1,000 tanda suka, selain diulang ciap lebih 300 kali.

Sementara itu penyanyi dan pelakon Adibah Noor pula mendoakan agar Dr Mahathir sentiasa dikurniakan kesejahteraan ketika menjalankan urusan menguruskan negara.

“Selamat hari ulang tahun Tun Mahathir. Saya doakan kamu dikurniakan kasih sayang melimpah-ruah, kesihatan dan kegembiraan,” ciapnya di Twitter.


Baca Awie bukan lalang


Selebriti dan usahawan Neelofa tidak ketinggalan memberi kata-kata semangat buat Dr Mahathir.

“Selamat hari ulang tahun ke-93 Tun M. Anda banyak memberi inspirasi kepada ramai orang supaya menjadi lebih baik setiap hari. Semoga Allah kurniakan anda kesihatan yang baik, rahmat dan kegembiraan,” ciapnya di Twitter.

 

 

Kumpulan Estranged diwakili vokalis Rich dan Din yang hadir ke ibu pejabat Malaysiakini hari ini juga sempat mendendangkan sebuah lagu ucapan untuk Dr Mahathir.

Bersama-sama klip video itu, Rich dan Din mendoakan kesejahteraan dan kejayaan agar sentiasa mengiringi Dr Mahathir dalam menjawat jawatannya sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia.