Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Johny Depp disaman, hinggap tangan pada kru
Diterbitkan:  Jul 10, 2018 8:21 PM
Dikemaskini: 5:43 PM

Bintang Hollywood, Johnny Depp disaman atas dakwaan menumbuk seorang kru ketika berada di sebuah lokasi penggambaran.

Pengurus lokasi Gregg “Rocky” Brooks memfailkan saman di Los Angeles semalam mendakwa aktor terbabit menyerangnya sewaktu dia cuba menguatkuasakan sekatan permit ketika bekerja untuk filem City of Lies.

Kejadian dikatakan berlaku pada 13 April 2017 ketika Depp menjalani penggambaran di luar Hotel Barclay, Los Angeles.

Menurut Brooks, produksi mendapat kebenaran untuk proses penggambaran hingga 7 malam di bahagian luar hotel manakala hingga 10 malam di dalam bangunan.

Selepas tempoh penggambaran dilanjutkan, Brooks difahamkan penggambaran harus ditamatkan, tetapi selepas memaklumkan Brad Furman, pengarah itu menyuruhnya memberitahu perkara itu kepada Depp.

Kata-kata kesat

“Kenapa kamu tidak nyatakan hal itu kepada Johnny Depp,” katanya dipetik Independent.

Brooks sebaliknya mendekati seorang pegawai polis di lokasi. Bagaimanapun, Depp didakwa masuk campur sambil menjerit menggunakan kata-kata kesat.

Who the f**** are you? (Kau fikir kau siapa?). Engkau tidak ada hak untuk beritahu aku apa yang perlu dibuat,” kata Depp.

Pelakon utama filem Pirates of The Caribbean itu kemudian didakwa berkata: “I don’t give a f*** who you are (aku tidak kira kau siapa) dan kau tidak boleh paksa aku,” katanya.

Menurut dokumen difailkan, Depp menumbuk Brooks dua kali pada bahagian rusuknya.

Dokumen dakwaan 14 halaman

Mangsa dikatakan bersikap tenang menyebabkan Deep didakwa berkata: "Aku akan berikan kau AS$100,000 untuk tumbuk aku di muka sekarang."

Pengawal keselamatan Depp kemudian membawa pelakon terbabit keluar dari lokasi penggambaran.

Brooks juga mendakwa, nafas Depp berbau alkohol selain dipercayai menggunakan dadah sewaktu di lokasi terbabit.

Dokumen 14 halaman muka surat itu kemudian menambah, Brooks kembali ke pejabat produksi hanya untuk dibuang kerja selepas itu kerana dia enggan menandatangani sebuah deklarasi bagi menghalangnya menyaman syarikat produksi, Good Film Productions.

Saman itu menuntut ganti rugi yang tidak dikhususkan kepada Depp, Furman, penerbit Miriam Segal dan syarikat penerbit.

Dakwaan Brooks termasuk serangan dilakukan Depp dan pemberhentian kerjanya yang tidak adil.

City of Lies berkisahkan kisah penyiasatan Jabatan Polis Los Angeles pada tahun 1997 membabitkan pembunuhan penyanyi rap B.I.G dan dijangka menemui penonton di layar perak pada 7 September di UK.

Depp pada masa ini turut berdepan pertikaian undang-undang dengan bekas pengurus dan menyaman bekas peguamnya, mendakwa dia ditipu hingga mencecah jutaan dolar.

Lihat Komen
ADS