Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Anak vokalis Margasatwa tunggu 5 minggu sebelum bedah

Bayi perempuan vokalis kumpulan Margasatwa, Akmal Akim, yang mengidap penyakit jantung berlubang (VSD) dijangka menjalani pembedahan kira-kira lima minggu dari sekarang.

Itu pun sekiranya kesihatan bayi tersebut mengizinkan.

Akmal atau Kimal ketika dihubungi berkata, melalui pemeriksaan dibuat di Institut Jantung Negara (IJN) sebentar tadi, Puspa, 7 bulan, turut disahkan mengidap masalah radang paru-paru minggu lalu.

Katanya Puspa memerlukan sedikit masa lagi untuk stabil sebelum boleh dibedah.

“Doktor menjangkakan dalam masa lima minggu lagi untuk Puspa berada dalam keadaan stabil akibat pneumonia, jika tidak kesihatan dia boleh merudum selepas dibedah,” katanya.

Semalam media melaporkan, Puspa yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh sejak Isnin minggu lalu akan menjalani pemeriksaan di IJN pada hari ini bagi menentukan tahap kesihatannya sebelum boleh dibedah.

Berkongsi keadaan Puspa sekarang, Akmal berkata ketika ini anak tunggalnya itu berada dalam keadaan stabil namun masih perlu bergantung kepada ubat-ubatan.

Sumbangan tabung kilat

“Jantung dia bengkak kerana terpaksa bekerja teruk berbanding jantung normal, lorong paru-paru juga membengkak pada masa sama,” katanya.

Untuk itu, Akmal memerlukan wang yang banyak bagi menampung kos pembedahan Puspa secara keseluruhan yang mencecah hingga RM35,000.

Justeru, orang ramai dialu-alukan untuk memberi sumbangan kepada tabung kilat yang dilancarkan atas nama Mohd Akmal Hakim untuk disalurkan ke akaun CIMB 7049493386 bagi membolehkan Puspa menjalani pembedahan segera merawat penyakit yang sedang dihidapi.

Sejak berita anak perempuannya mula diuar-uarkan, Akmal bersyukur kerana tabung kilat berkenaan berjaya meraih sumbangan sebanyak RM20,000 dalam tempoh yang singkat.

“Saya tidak menyangka ramai rakan-rakan dalam dunia hiburan turut menyalurkan sumbangan buat Puspa.

“Saya juga akan mengambil inisiatif untuk memohon dana dari yayasan tertentu bagi mengurangkan lagi kos yang perlu ditanggung.

“Saya berharap Puspa dapat menjalani pembedahan dengan lancar dan sihat seperti anak-anak yang lain selain berharap bayi atau kanak-kanak menerima nasib sama sepertinya terbela,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS