Nikita bertudung, bermula di Pagi Pagi Pasti Happy
Selebriti Indonesia yang kerap berpakaian seksi, malah pernah dikaitkan dengan sindiket pelacuran, Nikita Mirzani mengaku secara rasmi mula mengenakan hijab hari ini.
Khabar mengejutkan itu berlaku sewaktu Nikita muncul memenuhi undangan slot program Pagi Pagi Pasti Happy dengan imej baru selain kelihatan sopan dan bertudung kepala.
Saat ditanya bilakah detik perubahan berkenaan mula berlaku, Nikita sebaliknya memilih untuk menghindari petugas media dengan berjalan terburu-buru menuju ke kenderaannya.
Ketika itu Nikita diikuti pembantunya sebaik saja berakhir penggambaran Pagi Pagi Pasti Happy.
Namun, saat ingin masuk ke dalam kenderaan, pelakon Perempuan Perempuan Liar itu sempat mengeluarkan kenyataan pendek mengenai penampilannya itu.
“Sejak sekarang (memakai hijab),” katanya dipetik Kapan Lagi.
Nikita mula menunjukkan tanda-tanda perubahan melalui status sering dimuat naik sejak akhir-akhir ini.
Namun, tiada sebarang maklumat boleh disahkan kerana Nikita tidak membuat apa pendedahan yang memperlihatkan dia sudah memutuskan untuk berhijrah.
Sementara itu, melalui wawancara dalam rancangan Pagi Pagi Pasti Happy, Nikita menyatakan dia sebulat suara untuk berhijrah kerana Allah.
Malah katanya, ia dibuat atas keinginan sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak.
“Enggak, (bukan kerana suami) ketika Niki berhijab itu kerana Allah. Manusia itu hanya titipan (amanah) begitu juga suami dan anak,” katanya.

