Qari Dina, Qari Salimah pilihan juri Qari Jr 2018
Qari Dina dan Qari Salimah dari Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Darul Ulum dinobatkan sebagai bagi program Qari Jr 2018 musim ini.
Naib juara pula disandang wakil Yayasan al-Huffaz iaitu Qari Adham dan Qari Uzair.
Pada pentas akhir Qari Jr 2018, semua peserta diuji dalam segmen Taranum.
Untuk rekod dalam tempoh enam minggu peserta Qari Jr 2018 mereka dikehendaki bertaranum dalam bentuk murattal.
Bagaimanapun pada pusingan akhir mereka diberi tugasan bertaranum secara mujawwad, iaitu taranum dalam musabaqah.
Untuk segmen pertama, Qari Dina dan Qari Salimah membaca surah al-Isra, ayat 1 hingga 4 dan 5 hingga 8.
Kemudian panel juri memberikan ayat 1 hingga 11 dan 12 hingga 17 surah al-Mukminun kepada Qari Adham dan Qari Uzair untuk dibaca dengan taranum yang betul.
Kisah-kisah nabi
Secara keseluruhannya, juri mendapati kedua-dua kumpulan ini bijak mengawal pernafasan mereka dan bacaan surah juga amat mengagumkan.
Bagi segmen Qasasul Quran, setiap kumpulan menyampaikan kisah-kisah nabi yang sarat dengan pengajaran.
Qari Dina dan Qari Salimah berkongsi cerita mengenai wahyu pertama yang diterima Rasulullah SAW manakala pasangan Qari Adham dan Qari Uzair menyampaikan cerita bertajuk Kisah Siti Khadijah dan Isteri Solehah.

Untuk segmen Qasasul Quran, markah setiap peserta diberi berdasarkan isi jalan cerita dan juga ekspresi penyampaian.
Selepas berakhir segmen Qasasul Quran, Qari Jr 2018 diteruskan dengan sesi hafazan, ia dimulakan dengan kumpulan Qari Dina dan Qari Salimah.
Mereka mengalunkan ayat-ayat 44 hingga 48, serta ayat 49 hingga 54 surah al-Baqarah, manakala Qari Adham dan Qari Uzair membaca ayat 21 hingga 24 dan ayat 25 hingga 27 surah yang sama.
Kedua-dua kumpulan mendapat pujian daripada panel juri kerana berjaya mengekalkan momentum bagus sejak minggu pertama.

Qari Jr 2018 diakhiri dengan segmen IQ Qari, dengan kedua-dua kumpulan dikehendaki menjawab soalan mengenai pengajaran al-Quran dengan cekap dan tangkas.
Kepintaran kumpulan Qari Dina dan Qari Salimah terserlah apabila mereka berjaya mendahului Qari Adham dan Qari Uzair setelah berjaya mengumpul markah sebanyak 180 mata.
Qari Dina dan Qari Salimah yang menyandang gelaran Juara membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 serta pelbagai barang tajaan.
Naib juara pula membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 sumbangan TV3 serta pelbagai barangan tajaan yang lain.
Peserta Qari Jr 2018 dinilai sepenuhnya oleh juri profesional yang diwakili Ahmad Shukri Yusoff dan Dr Luqman Ibrahim.
Qari Jr. 2018 diterbitkan TV3 menampilkan Muaz Mohamed sebagai hos musim ini, manakala Russila Ilmi Zainal bertindak sebagai penerbit. Penaja pula ialah Almas Beauty and Health Sdn Bhd.
Tirai pentas akhir Qari Jr 2018 dimulakan dengan persembahan istimewa daripada Mawi dan DalyFilsuf dengan lagu berjudul Al Nuraa… Yang 5… Yang 6….

