Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Opick minta izin Dian sebelum bawa isteri baru masuk kamar
Diterbitkan:  Jul 11, 2018 9:07 PM
Dikemaskini: 1:29 PM

Ketika isu rumah tangga Opick dengan Dian Rositaningrum masih belum diputuskan statusnya, penyanyi lagu kerohanian itu dilaporkan bernikah sekali lagi.

Justeru, dia kini kembali mempunyai dua isteri. Sebelumnya dia berpoligami namun isteri keduanya Wulan Mayasari Hanis Sudiyono meninggal dunia pada 18 Mac selepas melahirkan anak pertama mereka.

Sebelum bernikah Opick memaklumkan hajatnya kepada Dian dan meminta persetujuan. Wanita itu kemudian tidak membantah.

Kini selepas sah menjadi suami isteri, Opick meminta izin pula daripada Dian untuk isteri barunya itu menggunakan kamar utama rumah mereka.

Untuk rekod kamar itu adalah ruang yang sama pernah digunakan Opick bersama Dian.

Walaupun sudah memfailkan perceraian status mereka masih belum disahkan oleh mahkamah.

Peguam Dian, Ina Rachman, memberitahu hajat Opick itu tidak dihalang dan membenarkan kamar utama mereka dimasuki isteri baru penyanyi terbabit.

"Anak guam saya memberi kebenaran, silakan.

"Itu kan tandanya hubungan dan komunikasi antara mereka tetap berlangsung dengan baik meskipun sudah tidak sehaluan.

"Maksudnya mula-mula mereka berkawan, kemudian bernikah, miliki anak dan akhirnya bepisah. Ya sudahlah, baik-baik saja,” kata Ina.

Menurut peguam itu lagi Dian menghargai sikap telus Opick - atau nama sebenar Aunur Rofiq Lil Firdaus - yang terlebih dahulu meminta izin sebelum menggunakan kamar berkenaan.

Dian dan Opick, 43, sudah bercerai sebelum ini namun ia perlu disahkan secara perundangan mengikut mahkamah. Proses itu sedang dikendalikan peguam kedua-dua pihak.

Ditanya identiti isteri penyanyi Rapuh dan Bila Waktu Tlah Berakhir itu, Ina mengaku tidak mempunyai maklumat mengenainya.

Katanya dia hanya dimaklumkan mengenai pernikahan Opick melalui Dian.

“Saya cuma dapat maklumat sudah menikah lagi. Opick sudah meminta izin pada Dian untuk menggunakan kamar utama.

“Saya tidak tahu bila (kahwin), tetapi tahu maklumat mengenainya pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, perbicaraan kes cerai Opick dan Dian yang sepatutnya berlangsung hari ini terpaksa ditunda kepada 24 Julai kerana hakim sedang bercuti.

Dian dan Opick mendirikan rumah tangga pada 15 Julai 2002 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan enam orang anak.

Lihat Komen
ADS