Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Ops selamat 12 budak dan jurulatih akan difilemkan
Diterbitkan:  Jul 12, 2018 2:02 PM
Dikemaskini: 6:16 AM

Dua buah syarikat produksi Hollywood akan bekerjasama untuk memfilemkan kisah operasi menyelamat 12 budak lelaki dan jurulatih mereka yang terperangkap dalam sebuah gua dinaiki air di Thailand baru-baru ini.

Dalam sebuah kenyataan, Presiden Ivanhoe Pictures, John Penotti berkata kerajaan Thailand memilih produksi berkenaan bagi menerbitkan filem yang bakal diarahkan oleh John M Chu.

“Terdapat kisah menarik mengenai manusia yang menyelamatkan manusia lain. Jadi untuk sesiapa yang terfikir untuk menggarap kisah itu mereka wajar melakukannya dengan betul dan terhormat,” tulis Chu di Twitter.

Ivanhoe Pictures yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan Asia sebelum ini banyak memfokuskan pasaran Asia dan Amerika Utara.

Chu seorang pengarah kelahiran California dan berdarah kacukan Cina pernah menghasilkan filem seperti G.I. Joe: Retaliation, Now You See Me 2 dan Step Up: All In.

Untuk rekod, kesemua 12 budak lelaki yang merupakan pemain pasukan bola sepak Thailand dan jurulatih mereka berjaya diselamatkan pada Selasa lalu dalam misi menyelamat sukar yang menjadi tumpuan dunia.

Kumpulan itu yang berusia antara 11 hingga 16 tahun dan jurulatih mereka masuk ke Gua Tham Luang di Wilayah Chiang Rai pada 23 Jun lalu selepas tamat sesi latihan bola sepak.

Bagaimanapun, ekoran hujan lebat, mereka terperangkap dalam keadaan gelap gelita itu apabila gua itu dilanda banjir selama lebih dua minggu.

Tragedi itu mengingatkan kepada sebuah peristiwa menyelamat 33 pelombong Chile pada 2010 yang terperangkap selama 69 hari dan turut diangkat ke layar perak.

Sebuah lagi syarikat yang merancang memfilemkan kisah pasukan bola sepak Thailand itu adalah syarikat yang berpangkalan di AS, Pure Flix.

Pengasas bersama Pure Flix Michael Scott, yang tinggal di Thailand berkata penerbit dari syarikatnya berada di lapangan dan menemubual beberapa pekerja penyelamat.

Katanya, isterinya turut mengenali Samarn Poonan, bekas anggota tentera laut Thailand yang meninggal dunia akibat lemas ketika misi menyelamat.

“Orang Thailand, Barat, Eropah dan Australia, semua orang dari seluruh dunia membantu budak-budak ini.

"Saya fikir kisah ini akan memberi inspirasi kepada jutaan penduduk di seluruh dunia,” katanya dipetik Reuters.

Lihat Komen
ADS