Pelakon Rozita Che Wan berasa dirinya kini ibarat menteri pembangunan wanita, yang dijawat oleh Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Berkongsi status di akaun Twitter miliknya, Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta, 45, berkata ini kerana beliau kini sering kali menerima mesej daripada pengikut di laman sosialnya yang bercerita mengenai hal rumah tangga mereka.

"Ramai sangat yang dm (direct mesej) kami cerita pasal rumah tangga mereka.

"Macam kita ini menteri pembangunan wanita pula," katanya.

Menurut Che Ta, ramai wanita dengan mudah ingin merampas suami orang berwajah tampan.

Malah menurut Che Ta, ada juga lelaki yang sudah berkahwin gemar melayan wanita seperti itu.

"Orang perempuan ni pantang tengok laki (suami) orang elok sikit, cepat saja dia nak 'qentap' (rampas).

"Tapi hat (yang) jantan (yang lelaki) tu pun jenis gatai (gatal). Adoi... Ramai sangat yang dok DM kami cerita pasal rumah tangga mereka," katanya.

Rata-rata pengikut di laman sosial miliknya itu terhibur dengan status yang dimuat naiknya.

Malah, ada segelintir mereka juga berpendapat bahawa Che Ta sesuai untuk dicalonkan untuk jawatan tersebut di Pilihan Raya Umum yang ke 15 (PRU15).

"Haha... Hidup Che Ta! Boleh dah bertanding pilihan raya umum yang 15 nanti.

"Wow bolehlah dicalonkan nanti! Memang sesuai Che Ta dengan jawatan tu," komen beberapa pengikutnya.

Che Ta difahamkan mula aktif menggunakan Twitter sejak 26 Jun lalu, namun sudah memiliki akaun sejak Ogos 2017.

Untuk rekod, sehingga kini Twitter menggunakan nama @rozitachewan1 itu mempunyai 827 pengikut manakala pelakon drama Kiah Pekasam itu mempunyai 3.7 juta pengikut di Instagram.