Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nam Ron selamba cakap Melayu di New York
Diterbitkan:  Jul 14, 2018 3:55 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Pelakon dan pengarah, Shahili Abdan atau lebih dikenali sebagai Nam Ron berbangga menggunakan bahasa Melayu ketika menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

Menariknya Nam Ron berbuat demikian bukanlah di Kuala Lumpur sebaliknya di New York. Dia berada di kota raya besar itu sempena Festival Filem Asia New York.

Pada sesi soal jawab tersebut, Nam Ron menggunakan bahasa Melayu bagi menjawab soalan yang diajukan moderator berhubung filem yang diarahkannya, One Two Jaga.

Bagaimanapun pada waktu tertentu Nam Ron berbahasa Inggeris juga bagi menjawab soalan yang ditanya oleh hadirin.

One Two Jaga berkisar mengenai masalah rasuah yang berlaku dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketika sesi soal jawab itu, Nam Ron turut ditanya apa yang menyebabkan dia mengarah filem sedemikian.

Menurut Nam Ron, dia cuba mengangkat isu yang selama ini jarang diketengahkan para seniman di Malaysia.

Kena dapat izin polis

Justeru, katanya, menjadi tanggungjawabnya untuk membawa isu korupsi yang selama ini berakar umbi terutama yang melibatkan pihak berkuasa.

"Benda ini dah berlaku dah lama tapi tak ada orang yang angkat isu ini di Malaysia. Kalau tanya isu korupsi, bukan benda baru, dah berakar umbi, dah lama.

"Tapi tak ada orang yang mahu ketengahkan isu ini. Jadi saya rasa menjadi tanggungjawab saya sebagai seniman untuk membawa isu ini kepada publik," kata Nam Ron dalam video yang dikongsi di Facebook festival filem berkenaan.

Ditanya, bagaimana dia boleh memberikan kredit kepada pihak polis pada akhir cerita sedangkan ia berkisah tentang korupsi, Nam Ron berkata menjadi kewajipan untuk pihaknya menyerahkan skrip kepada pihak polis jika membuat cerita mengenai pasukan terbabit.

"Ia kemestian untuk tunjuk pada polis. Skrip pertama saya hantar, polis tolak. Kemudian yang kedua kita cuba dan bincang lagi dengan pihak polis sehingga mendapat kebenaran untuk membuat penggambaran dan mereka meminta untuk potong beberapa babak dalam cerita ini.

"Tapi sudah tentu bila on set, kita tidak ikut apa yang mereka minta. Kami tetap membuat penggambaran malah menambah beberapa babak dan plot tanpa kebenaran mereka.

"Kemudian sekarang kerajaan baru memerintah negara, dan ia memberi kelebihan kepada kami untuk tayangkan filem kami," kata Nam Ron.


Baca Zahiril teruja One, Two, Jaga bogelkan amalan rasuah


Pada festival berkenaan, fIlem arahan Nam Ron itu juga terpilih sebagai Official Selection.

Festival filem tersebut akan berlangsung di dua lokasi, iaitu Film Society of Lincoln Center dan SVA Theatre.

Festival anjuran Subway Cinema dan Film Society of Lincoln Center (FSLC) adalah acara berprestij yang menyokong pembangunan seni dan budaya serta memberi penghargaan kepada filem-filem yang terpilih dari negara Asia.

Filem terbitan Pixel Play Entertainment milik pelakon Bront Palarae bersama rakan kongsi Rozi Izma itu dibintangi Nam Ron sendiri di samping Zahiril Adzim, Amerul Affendi, Iedil Putra serta pelakon Indonesia Ario Bayu.

Pada bulan April lalu, filem One Two Jaga telah dipilih untuk ditayangkan sebagai filem pembukaan untuk Festival Filem Udine Far East di Itali.

Lihat Komen
ADS