Berharap dan pasrah serentak - mungkin itu ungkapan yang tepat untuk menggambarkan situasi Luna Maya apabila isu jodohnya disentuh.
Luna Maya kini menjalin hubungan dengan seorang pemuda dikenali sebagai Reino Barack. Kedua-dua mereka berusia 34 tahun.
Pada Jun lalu secara terbuka selebriti terbabit memuat naik gambar dirinya bersama Reino. Dan dia juga berharap dapat bertemu lelaki terbabit lebih kerap.
Namun Luna Maya tetap Luna Maya yang pernah panas suatu ketika dulu. Biar apa pun yang berlaku, orang ramai masih mengenang sejarah dirinya bersama Ariel berkongsi ranjang.
Kata Luna Maya dia kini berada pada satu tahap yang mengingini perkahwinan. Pada masa sama dia juga sedar statusnya tidak sama dengan wanita lain.
"Tambahan pula kita hidup dalam lingkungan budaya timur," katanya seperti disiarkan Tempo.
Untuk diperisterikan Luna Maya sedar dia perlu berdepan dengan keluarga Reino, terutama ibu bapa lelaki terbabit.
Bintang sabun mandi
Ketika itu katanya segala hal berkaitan dirinya akan dipertimbangkan. Dan Luna Maya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Jelitawan kelahiran Denpasar di Bali itu juga berkata kalau ditakdirkan akhirnya menjadi isteri, dia akan melakukan sujud syukur.
"Jika pernikahan tidak terjadi dalam kehidupan saya, rasa syukur saya kepada Tuhan tidak akan berkurang,” katanya.

Menurut Luna Maya apa yang berlaku pada hidupnya tidak dapat diulang lagi untuk diubah. Malah dia enggan menyalahkan sesiapa.
Menceritakan pengalaman selepas susuknya menjadi tontonan ramai pada 2010, Luna Maya berkata dia berdepan dengan tekanan yang sangat hebat.
Tambahan pula kejadian mengaibkan itu berlaku ketika namanya sedang berada di puncak populariti.
Terpukul dengan insiden klip video lucah itu, Luna Maya berkata dia mengalami sindrom post-power selama kira-kira dua tahun. Sepanjang tempoh itu dia diuji kerana terpaksa berdepan dengan 'musuh' yang tidak dapat dilihat.
"Bayangkan anda sedang berada di puncak, tiba-tiba terjatuh ke jurang paling dalam dan semua orang meninggalkan anda," katanya yang sebelum ini popular sebagai model untuk sabun mandi terkenal.
Pada 2009 Luna Maya juga dinobatkan sebagai bintang TV yang mendapat bayaran paling mahal, selain pelakon filem ketiga mendapat bayaran tertinggi di Indonesia.
Dengan pendedahan skandal itu semua tawaran terhenti dan dia menjadi cemuhan. Untunglah Luna Maya masih berpeluang menjadi jurujual tas tangan dan memperoleh pendapatan agak lumayan.
