Sejak dikaitkan dengan kes tangkapan Datuk Farid Kamil, pelakon Soffi Jikan mengakui kehidupan dilalui sebagai seorang pelakon mulai terjejas apabila tawaran berlakon terhenti tiba-tiba.

Kata Soffi, sejak ditahan berhubung laporan polis dibuat Farid pada 31 Jan lalu, nasibnya dirundung malang apabila namanya seringkali digugurkan daripada produksi atas alasan yang didakwanya tidak munasabah.

“Sejujurnya, selepas apa yang berlaku saya hilang segala-galanya, termasuklah tawaran berlakon dan rakan-rakan.

“Terdapat projek lakonan yang sudah ada kontrak pun terpaksa dibatalkan atas salah faham yang timbul.

“Bayangkan, banyak kontrak projek sudah ditandatangani, namun nama saya digugurkan disebabkan perkara yang mengarut. Namun, saya tetap positif dengan apa yang berlaku,” katanya dipetik Kosmo Online.

Jual minyak wangi

Menurut pemilik nama asal Mohamad Shoffi Jikan itu, kehidupan harus diteruskan biar apa pun yang terjadi.

Justeru kata Soffi, 47, dia mengambil inisiatif meluaskan pendapatan di luar bidangnya sebagai pelakon dengan mengusahakan pelbagai perniagaan.

“Saya menjalankan perniagaan Bitcoin dan masih menjual minyak wangi. Memang leceh kehidupan selepas apa yang berlaku.

“Rezeki itu luas kerana apa pun yang berlaku, saya akan tetap meneruskan kehidupan.

"Saya tidak kisah jual minyak wangi di pasar malam walaupun saya seorang pelakon,” katanya.

 

Namun, kata pelakon yang popular dengan tagline “kasi sengat” itu, dia kini mampu menghela nafas lega apabila namanya disunting bagi menjayakan watak utama dalam sebuah filem seram berjudul Jodoh Syaitan yang diterbitkan Da Motion Media.

Selain Soffi, filem mendapat arahan Bob Hashim itu turut dibarisi ramai pelakon seperti Abam Bocey, Jay Iswazir, Wan Hanafi Su, Fauziah Nawi termasuk seorang pendatang baru, Aprena.

Dalam pada itu, Soffi turut berkongsi kegembiraan apabila bakal menerbitkan sebuah filem berjudul Tikam Belakang - yang kini sudah memulakan penggambaran.

Ditanya maksud di sebalik tajuk filem berkenaan, Soffi menjelaskan ia sedikit pun tidak mempunyai kaitan dengan kes yang berlaku antaranya dengan Farid.

“Saya tiada masalah dengan sesiapa pun. Malah saya tidak berdendam dengannya. Kes ini sudah berlarutan di mahkamah dan biarlah mahkamah yang tentukan siapa salah, siapa benar.

“Saya cuma tidak mahu lagi dikaitkan dengan dia dan hanya ingin meneruskan hidup seperti biasa,” katanya.