Penggiat seni khususnya dalam bidang teater dan agamawan perlu duduk berbincang bagi memastikan pementasan teater berbentuk islamik tidak bercanggah dengan agama.

Felo Penyelidik Kanan Universiti Malaya Dr Zainal Abdul Latiff berkata menerusi perbincangan tersebut agamawan dapat memberi kefahaman kepada penggiat teater mengenai perkara yang wajar atau tidak dibenarkandalam pementasan mereka.

“Penggiat teater kena ada ilmu teater yang kreatif dan rujukan untuk mengetahui sama ada teater islamik yang dihasilkan haram atau tidak.

"Jadi saya harap mereka ini duduk dan berbincang. Kalau kita tidak pernah tegur atau tidak duduk berbincang, masing-masing main (mengikut) emosi," katanya.

Beliau ditemui selepas sesi pembentangan bertajuk ‘Harapan dan Cabaran Membangunkan Teater Islam untuk Malaysia’ pada Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam Kali ke-5 (WCIT) 2018 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah, di Ipoh hari ini.

Dr Zainal berkata sekiranya pementasan teater mengisahkan tentang nabi, pelakon tidak boleh meniru perwatakan nabi sebaliknya hanya menyebut sabda atau kata-katanya sahaja.

“Lakonkan secara realistik, kita lakonkan secara simbolik bukan perwatakannya,” katanya.

WCIT 2018 yang berlangsung tiga hari mulai hari ini bertujuan untuk menyediakan interaksi ahli akademikdalam persekitaran yang dinamik bagi mencari penyelesaian kepada permasalahan semasa yang dihadapi dunia Islam.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dijadualkan berangkat merasmikan WCIT 2018 dan menyampaikanucaptama Diraja esok.

- Bernama