Siti tak teragak-agak sekat pengikut media sosial
Amaran daripada Datuk Seri Siti Nurhaliza - sesiapa yang meninggalkan komen biadab di akaun instagramnya akan disekat.
Penyanyi nombor satu negara itu berkata dia mahu media sosal miliknya tidak dicemari aura negatif sehingga boleh menimbulkan perbalahan di kalangan pengikut akaunnya.
Dia sentiasa mengalu-alukan komen peminatnya yang berbentuk saranan ke arah kebaikan tetapi bukan yang sengaja mahu mencetuskan suasana yang tidak baik.
“Namun kalau ada yang saja nak komen negatif, itu memang niat dia. Jadi untuk komen sebegitu, lebih baik saya sekat. Saya tidak mahu ada aura negatif dalam instagram saya.
“Kebiasaannya komen sebegini lebih kepada menghasut. Kalau sudah sekat, hati lebih tenang,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Siti, 39, diminta mengulas berkenaan komen negatif yang ditinggalkan di video anaknya, Siti Aafiyah, ketika mereka ke spa bayi baru-baru ini.
Menurut laporan itu, kebanyakan pengikut akaunnya beranggapan tindakan penyanyi lagu Percayalah itu tidak sesuai dan boleh membahayakan nyawa anak sulungnya itu.
Dia tidak menafikan menerima komen negatif setiap kali berkongsi gambar Siti Aafiyah.
“Apa juga dimuat naik, walaupun perkara baik, tetap akan ada kritikan. Disebabkan itu, suami menasihati agar tidak kerap memuat naik gambar anak di instagram kerana sedar pasti ada yang mengata,” katanya lagi.

