Isteri puas Anang bakal berhenti politik
Penyanyi Ashanty meminta suaminya Anang Hermansyah tidak terus menjadi anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) selepas penggal ini berakhir.
Malah hasratnya turut disepakati dua anak tirinya Aurel Hermansyah dan Azriel Hermansyah yang ingin bapanya meluangkan lebih masa bersama keluarga.
“Anang mungkin ada khabar terbaru. InsyaAllah keluarga meminta Anang tidak meneruskan jawatannya di DPR. Ini tahun terakhirnya di DPR,” katanya dipetik Tempo.co.
Penyanyi dan komposer itu menjadi anggota DPR sejak menang Pilihan Umum Indonesia pada 2014. Dia terpilih menjadi wakil rakyat daerah pemilihan Jawa Timur IV.
Anang menjadi anggota suruhanjaya DPR yang bertanggungjawab atas bidang pendidikan, budaya, belia dan sukan serta ekonomi dan pelancongan kreatif.
Menurut Ashanty, Anang berjaya menyempurnakan visinya dengan cukup baik sepanjang menganggotai suruhanjaya itu.
Katanya, salah satu daripada matlamat suaminya yang menyebabkannya terjun dalam politik adalah untuk menambahbaik undang-undang berkaitan muzik dan isu royalti.
“Tujuan Anang menyertai DPR kerana ingin undang-undang muzik masuk ke Program Legislasi Nasional (Prolegnas).
“Alhamdulillah selepas puluhan tahun, masuk juga walaupun mungkin umum tidak menyedari, tetapi apa yang dikerjakannya dalam lima tahun ini ada hasilnya” katanya.
Anang sendiri nampaknya setuju dengan kehendak keluarga. Dia berkata penglibatannya dalam bidang politik sudah selesai dan mahu kembali aktif sebagai penggiat seni.
“Berkemungkinan tahun depan saya tidak akan meneruskan (politik). Tetapi apa pun itu mudah-mudahan lebih sihat.
“Saya akan kembali sebagai seniman walaupun dulu tetap seniman,” kata Anang yang merupakan bekas suami penyanyi Kris Dayanti.

