Penyanyi Madonna meraikan hari peringatan sempena penubuhan sebuah pusat perubatan yang dinamakan sempena seorang daripada empat anak angkat yang diambilnya dari negara selatan Afrika.

Bintang pop terkemuka itu melawat Institut Mercy James yang dibina untuk menangani kes-kes pembedahan pediatrik dan unit rawatan rapi di Hospital Queen Elizabeth Central di Blantyre Malawi.

Pada lawatan itu penyanyi La Isla Bonita berkenaan sempat mengadakan pertemuan dengan ibu dan mak cik kepada anak kembar yang diambilnya menjadi anak angkat.

“Mereka sudah lalui pelbagai pengalaman, justeru elok untuk berikan mereka harapan,” kata Madonna seperti dipetik AP.

Untuk rekod, pertubuhan amal penyanyi berusia 59 tahun itu membiayai institut berkenaan dan pernah melakukan banyak kejayaan termasuk pembedahan memisahkan pasangan kembar siam di Malawi.

Madonna dalam pada itu merancang untuk menjayakan sebuah projek terbaru di negara berkenaan.

Semuanya gara-gara anak angkatnya David Banda yang turut lahir di Malawi.

Rancangan itu ialah untuk menubuhkan sebuah akademi bola sepak kerana Banda pernah menyatakan impiannya adalah untuk melihat Malawi berjaya menyertai Piala Dunia suatu hari nanti.

Selain Banda, Madonna mempunyai tiga lagi anak angkat iaitu Mercy James, pasangan kembar Estere dan Stelle serta dua anak kandung, Lourdes Maria dan Rocco Ritchie yang lahir hasil dua perkahwinan masing-masing dengan Carlos Leon dan Guy Ritchie.