Harith Iskander merujuk titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sebagai lawak paling selamba apabila baginda mengusik anggota parlimen pembangkang di Dewan Rakyat hari ini.
Pelawak dan pengacara itu berkata demikian merujuk kepada titah secara bersahaja Sultan Muhammad V yang dipercayai ditujukan kepada Anggota Parlimen pembangkang BN dan PAS sebelum baginda menyampaikan ucapan pembukaan sidang Parlimen di Kuala Lumpur pagi tadi.
“Dan pemenang bagi Lawak Paling Selamba Tahun ini jatuh kepada DYMM YDP Agong bagi titahnya - sila duduk, jangan lari,” ciap Harith di Twitter.
Sultan Muhammad V hari ini merasmikan istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke-14.
Semalam berlaku kekecohan apabila anggota Parlimen pembangkang BN dan PAS keluar dewan selepas 10 minit sidang bermula sebagai tanda protes cara pelantikan yang dipertua Dewan Rakyat.
KJ, Anifah hormat majlis
Hanya Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Seri Anifah Aman kekal di tempat masing-masing. Khairy berasakan beliau perlu kekal dalam dewan sebagai menghormati majlis dan beranggapan terdapat cara lain untuk membantah.
Sultan Muhammad V bertitah mengingatkan semua anggota Parlimen tetap berada di tempat masing-masing.
“Tuan- tuan dan puan-puan tolong duduk dan jangan lari,” titah baginda dengan senyum lebar ketika memandang ke arah pembangkang sebelum duduk.
Titah itu disambut dengan ketawa orang yang mengikuti persidangan berkenaan.
Harith, 51, yang boleh disifatkan sebagai pelopor seni lawak komediri (stand up comedy) Malaysia mengalahkan empat peserta lain di Finland pada 2016 untuk merebut gelaran Manusia Paling Kelakar di Dunia.
