Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Johan, isteri rela lewat daftar nama anak asalkan puas hati

Biar pun berdepan denda, pelakon dan pelawak Johan serta isterinya Ozlynn Wati lebih rela begitu asalkan anak-anak mereka diberikan nama yang memuaskan hati.

Justeru, lewat mendaftar nama anak bukan sesuatu yang asing buat pasangan terbabit.

Malah pasangan itu mendedahkan, anak kelima mereka - kini hampir berusia lima minggu - juga mungkin mendapat tempias sama apabila belum ada kata putus yang dipersetujui untuk menamakan bayi berkenaan.

“Nama anak masih belum didaftarkan lagi, sebab saya nak yang ini, dia (Ozlynn) pula nak yang itu,” kata Johan yang ditemui pada sidang media pelancaran program terbaru Astro, Jozan, di Kuala Lumpur semalam.

Johan atau nama sebenar Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz dan Ozlynn menyambut seorang bayi perempuan pada 3 Syawal lalu.

Sementara itu bercakap kepada Malaysiakini, Ozlynn - atau Rozlinawaty Ismail - berkata mereka terpaksa membayar denda untuk mendaftarkan nama empat anak terdahulu kerana dibuat lewat daripada 60 hari seperti yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Chantiq paling lama, sampai tiga bulan baru namanya didaftarkan," katanya.

Mengenai anak kelima mereka kini, Ozlynn berkata ada tiga nama dicadangkan dan dia sedang cuba memujuk Johan agar memilih salah satu daripadanya.

Katanya mereka begitu mementingkan nama untuk anak-anak kerana menganggap ia bukan sesuatu yang boleh diremehkan.

Bermaksud baik

Mengikut maklumat Jabatan Pendaftaran Negara seseorang pendaftaran nama seseorang bayi tidak dikenakan sebarang denda jika dibuat dalam tempoh 60 hari.

Jika lebih daripada itu pihak yang berkenaan boleh dikenakan bayaran sehingga RM60 iaitu untuk proses permohonan daftar lewat kelahiran (RM10) dan denda (maksimum RM50).

Turut dikenakan ialah bayaran carian daftar kelahiran sebanyak RM5.

Johan pula berkata dia tetap mahu memastikan nama anak-anaknya membawa makna yang baik walaupun dia tidak merujuk kepada mana-mana ustaz.

Personaliti yang terkenal menerusi program Raja Lawak itu berkata dia tahu membezakan nama yang bermaksud baik atau tidak, malah tiada masalah untuk itu kerana pilihan yang ada terlalu banyak.

Menjelaskan lebih lanjut, Johan yang merupakan penyampai radio itu berkata, pemilihan nama anak juga dibuat berdasarkan persamaan tertentu.

“Nama anak-anak saya sebelum ini - Ariq, Sodiq, Haziq dan Chantiq - semuanya berakhir dengan huruf I dan Q. I untuk ikhlas dan Q untuk kualiti.

“Pada saya, ia boleh disamakan dengan sesuatu pekerjaan yang dibuat dengan ikhlas, secara automatik akan melahirkan kualiti,” katanya.

Ditanya mengenai program Jozan, Johan berkata rancangan itu yang turut dikendalikan seorang lagi pelawak, Zizan Razak, bukan saja berteraskan hiburan dan isu tular semata-mata.

Selain dibahagikan kepada lima segmen dengan kepelbagaian hiburan dan komedi, Jozan - yang akan bersiaran setiap Selasa mulai 24 Julai ini - turut mengetengahkan isu-isu semasa dalam negara yang dikupas secara ringan.

Jozan akan ditayangkan di Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124) atau platfrom digital Astro GO dan On Demand.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS