Langit Terang, program realiti tanggungjawab sosial korporat terbitan TV Alhijrah bakal memulakan siaran musim baharu pada 25 Julai ini.

Program 26 episod yang memberi peluang kepada pelajar-pelajar asnaf melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti merupakan terbitan bersama Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) itu akan disiarkan setiap Rabu, 9 malam di TV Alhijrah.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah Dr A. Bakar Sarpon dalam sidang media di Putrajaya hari ini berkata rancangan yang memasuki musim ketiga itu terus diterbitkan susulan sambutan baik penonton sejak diperkenalkan tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif PHB Datuk Kamalul Arifin Othman pula berkata antara elemen baharu yang ditonjolkan ialah bagaimana PHB membantu asnaf-asnaf yang telah dibantu semasa di universiti tempatan melanjutkan pelajaran ke luar negara.

"Program ini juga turut memaparkan usaha kita menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada pelajar terpilih melalui cara menaik taraf kediaman mereka," katanya.

Selain Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Hafiz selaku pengacara, program itu turut menampilkan kelainan dengan 26 hos jemputan yang akan turun padang ke lokasi responden pada setiap episod.

- Bernama