Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Manohara, Ahmad Dhani uji pengaruh di Jawa Timur
Diterbitkan:  Jul 20, 2018 10:47 PM
Dikemaskini: Jul 22, 2018 4:25 AM

Selepas lama menyepikan diri daripada radar hiburan, penampilan terbaru model dan aktres Manohara Ordelia Pinot cepat saja mencuri perhatian.

Selain tampil dengan susuk tubuh lebih langsing, Manohara membawa perkhabaran baru yang tidak kurang kejutannya.

Dia kini terjun secara langsung ke dunia politik dan bakal bertanding dalam pilihan raya umum Indonesia pada tahun depan.

Sebelum ini Manohara melalui hantaran di Instagram menampilkan dirinya dengan memakai baju biru sesuai dengan warna parti Nasional Demokrat (Nasdem).

Bersama Manohara ialah dua tokoh terkenal dalam dunia politik Indonesia, Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan Ketua Umum Nasdem Surya Paloh.

“Jokowi presidenku, Nasdem partiku,” tulisnya di Instagram mengiringi gambar tersebut.

Bagaimanapun untuk rekod Jokowi bukanlah anggota Nasdem sebaliknya Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) pimpinan Megawati Sukarnopurti.

Manohara dijangka bertanding di salah satu kerusi di Jawa Timur. Indonesia akan mengadakan pilihan raya umum ada 17 April tahun depan.

 

 

Nama Manohara pernah menjadi sebutan ramai pada 2014 apabila timbul kontroversi dengan salah seorang anggota kerabat diraja Kelantan.

Manohara dan ibunya kemudian diarah membayar RM6 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes fitnah melibatkan tuntutan RM105 juta yang difailkan putera Sultan Kelantan itu.

Selain Manohara, ada dua lagi artis bakal turun gelanggang dalam pilihan raya bagi wilayah Jawa Timur itu nanti, iaitu ketua kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani, dan pelakon filem Tenggelamnya Kapal Van Der Vijck, Arzeti Bilbina.

Dalam pada itu, Ketua Kempen Nasdeem, Effendi Choirie berkata sejumlah artis lain turut bertanding pada pilihan raya umum 2019 itu.

Timbalan Pengerusi Parti Gerindra Jawa Timur, Hendro Subianto pula berharap kemenangan akan berpihak pada Ahmad Dhani.

Lihat Komen
ADS