Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Curhat Ellie: Mengapa saya tak boleh bersuara?

WAWANCARA | Pelakon dan pengarah yang semakin lantang mengkritik kerajaan Ellie Suriati percaya ada sebab lain Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak menyertai anggota parlimen pembangkang BN lain keluar Dewan Rakyat  minggu lalu.

Ellie mengesyaki Khairy ingin meninggalkan Umno selepas parti itu hilang kuasa pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Kata pelakon Spinning Gasing itu pelantikan speaker Dewan Rakyat baru-baru ini tercalar dan Khairy sepatutnya membuat bantahan dengan meninggalkan dewan.

Selain Khairy seorang lagi anggota parlimen BN yang tidak keluar dewan adalah Anggota Parlimen Kimanis iaitu Datuk Seri Anifah Aman.

Malaysiakini baru-baru ini berkesempatan mewawancara Ellie. Berikut ialah petikan wawancara itu:

Malaysiakini: Boleh komen mengenai tindakan Khairy enggan keluar dari dewan?

Ellie: Tindakan Khairy dan kekal di kerusi itu tidak wajar dipanggil mempertahankan integriti.

Itu bagi saya macam hendak lompat parti. Khairy pernah berkata kalau tinggal sejuta pengikut dia akan berada di depan sekali. Kalau 100 orang pengikut yang tinggal, maka dia akan jadi ketuanya.

Kalau tinggal seorang, dialah orangnya (dalam Umno). Tetapi kalau sudah tiada siapa (dalam Umno), bermakna dia dah mati. Namun, apabila jadi begini dan dia masih hidup lagi... dia nak lompat parti ke?

Khairy perlu lihat dia sebagai ketua Umno sebelum ini, tetapi kita kehilangan banyak undi orang muda. Sepatutnya itu tanggungjawab dia (untuk meraih undi). Hal ini dia patut jawab bukannya kritik bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Engkau ranggi stylo tetapi mengapa tak bawa gaya itu untuk memenangi hati orang muda? Saya rasa dalam hal ini dia perlu bertanggungjawab.

Malaysiakini: Mengapa perlu bantah pelantikan speaker?

Ellie: Ramai orang Melayu tidak tahu proses pelantikan speaker Dewan Rakyat tetapi hanya tahu mengutuk.

Sepatutnya mereka kena tahu kenapa anggota parlimen keluar dewan. Pada saya, sepatutnya orang yang ada integriti itulah yang patut keluar kerana membantah. Macam mana pun mereka membantah, tetapi akhirnya mereka masuk semula ke dalam dewan.

Mahu terus mengarah filem

Ellie juga menjawab kecaman yang diterimanya kerana menonjol bersama penyokong Umno, terutama semasa hari Najib didakwa di mahkamah sebelum ini.

Bersama Ketua Wanita Umno Datuk Noraini Ahmad Ellie bersorak mengecam Peguam Negara Tommy Thomas yang ketika itu bersedia memberikan sidang media.

Malaysiakini: Apa perasaan apabila anda dikecam oleh yang tidak bersetuju dengan tindakan anda?

Ellie: Saya kena kecam gila-gila, tapi saya seorang pemain dalam industri, jadi bebas untuk bercakap apa saja.

Kenapa saya dikecam apabila membuka mulut dan mempertahankan bangsa Melayu dan agama Islam?

Malaysiakini: Kenapa tiba-tiba lantang dan bersuara untuk Umno sedangkan sebelum ini tidak menonjol?

Ellie: Saya menyertai Umno selepas PRU ke-14. Dulu kalau bab politik saya hanya pandang dan baca, itu saja.

Dalam tempoh dua bulan selepas kita tukar kerajaan saya sudah tidak tahan apabila melihat bangsa Melayu ditindas dan agama Islam diperlekehkan sedangkan agama persekutuan kita ialah Islam dan bangsa Melayu adalah majoriti terbesar.

Sebab jadi risau nasib orang Melayu dengan agama Islam dan kedudukan raja-raja Melayu. Saya mahu Melayu bersatu, tak mahu Malaysia jadi republik, itu sebab nak kekalkan. Jangan diganggu gugat keadaan sedia ada.

Malaysiakini: Dengan kecaman yang diterima adakah Ellie rasa kebebasan sekarang semakin terkekang?

Ellie: Ya, memang wujud kebimbangan itu terutama apabila seseorang artis tidak boleh bersuara dan kebebasan dia disekat.

Malaysiakini: Adakah Ellie bimbang sikap sekarang akan menyukarkan Ellie untuk terus bergiat dalam bidang seni?

Ellie: Untuk kekalkan kerjaya saya sebagai pelakon, saya rasa tidak ada isu tetapi mungkin penonton sudah tidak suka tengok saya lagi.

Saya tak tahu macam mana selepas ini kerana kelantangan saya bersuara, tetapi kerjaya sebagai penulis dan pengarah filem akan diteruskan walaupun ada yang membenci.

Untuk bidang lakonan rasanya kerjaya saya sekarang sudah habis, tapi saya berserah saja dan ikut apa yang Allah tentukan.

Lihat Komen
ADS