Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan supaya perbicaan mengenai isu hak cipta filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam terbitan Skop Production Sdn Bhd ditangguhkan sementara.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum bertindak mengetuai panel tiga hakim yang bersidang di Putrajaya hari ini.

Dua lagi hakim yang mendengar permohonan tersebut ialah Tan Sri Aziah Ali dan Tan Sri Zainun Ali.

Permohonan itu dikemukakan pengarah filem Shamsul Yusof, bapanya Datuk Yusof Haslam serta syarikat Skop Production supaya mereka boleh merayu keputusan dibuat Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Ketiga-tiga defendan terbabit disaman penulis Elias Idris yang mendakwa filem tersebut melanggar hak cipta karyanya yang berjudul Aku Bohsia.

Penghakiman itu dibuat bagi membolehkan dua daripada empat isu diselesaikan terlebih dulu iaitu:

  • Adakah penerbitan itu memenuhi kehendak undang-undang berhubung dakwaan pelanggaran hak cipta;
  • Sama ada wujud tanggungjawab kepada mahkamah untuk memeriksa dan menilai kedua-dua bahan yang berbeza terbabit tertakluk kepada dakwaan pelanggaran hak cipta atau sebaliknya.

Pada 2014 Elias - yang menulis menggunakan nama Anne Natasha Nita - memfailkan saman ke atas Yusof, Shamsul serta Skop Productions kerana mendakwa kandungan filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam diambil dari bukunya.

Saman itu ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur namun Elias membawa kesnya ke Mahkamah Rayuan.

Tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Abang Iskandar Abang Hashim membenarkan permohonan Elias dan mengarahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menentukan ganti rugi kepada penulis terbabit.

Abang Iskandar juga mengarahkan defendan membayar kos sebanyak RM40,000 dan mengetepikan perintah mahkamah tinggi supaya Elias membayar RM100,000 sebagai kos kepada Shamsul, Yusof dan Skop Production.

Beliau juga mengeluarkan perintah injunksi seperti dipohon Elias supaya responden atau ejen mereka ditegah daripada menerbitkan, menyiarkan, mengedar atau menerbitkan semula filem tersebut tanpa kebenaran bertulis daripadanya.

Yusof, Shamsul dan Skop Productions diwakili peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla serta Aizul Rohan Anuar manakala K Periasamy bertindak sebagai peguam Elias.

[Baca berita penuh]