Cahaya kegembiraan hadir di wajah remaja pengidap autisme, Adam Wan Mun Yu, saat dia menerima hadiah dari seseorang bernama Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.
Sempena sambutan ulang tahun kelahiran Adam yang ke-17 semalam, penyanyi tersohor itu memberikan buah tangan berupa karakter popular terdiri daripada siri kanak-kanak, Barney & Friends.
Bertuahnya Adam, dia tidak hanya menerima satu, bahkan dua patung berwarna ungu itu yang boleh menghiburkan hati sesiapa saja yang memilikinya.
“Alhamdullillah...gembira sangat dapat bertemu Adam dan semoga Allah SWT kurniakan kebahagiaan buat keluarga Adam,” kata Siti mengiringi keterangan gambarnya bersama Adam di Instagram.
Siti terserempak dengan Adam sewaktu berada di dalam sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur.
Bagi yang tidak tahu, selain di dada media kisah kehidupan Adam sebelum ini sebenarnya banyak dipaparkan melalui sebuah akaun Instagram @adamautismfamily.
Adam disahkan menjadi autistik atau masalah spekrum autistik (ASD) dan gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (attention deficit hyperactivity disorder) sejak dia berusia dua tahun enam bulan.
Bapa Adam, Iman Wan Tuck Meng pula seorang komposer yang namanya tidak asing bagi Siti.
Dia pernah menghasilkan lagu berjudul Cinta Tak Berganti yang dimuatkan dalam album Prasasti Seni oleh Siti pada 2004.
Terdahulu, akaun @adamautismfamily memuat naik sebuah ucapan daripada Siti yang dirakam khusus untuk Adam.
Turut dimuat naik, kata-kata keterangan mengiringi klip video berkenaan.
“Salam dari Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk Adam pada hari ulang tahunnya ke-17. Terima kasih banyak @ctdk. Perkara ini amat bererti buat kami semua.
“Anda (Siti) adalah yang terbaik dan sentiasa yang terbaik,” kata akaun @adamautismfamily.
