'Bintang' Trump di Hollywood kena kapak
'Bintang' Presiden AS Donald Trump di Walk of Fame, Hollywood dimusnahkan seorang individu dengan kapak semalam, menurut pegawai polis Los Angeles, Ray Brown.
Kejadian di kawasan tarikan pelancong itu dilaporkan oleh orang ramai pada jam 6.33 pagi (waktu tempatan).
Seorang saksi, Patricia Cox memaklumkan, pada hari kejadian, dia melihat seorang lelaki membuat kerosakan itu tanpa menghiraukan keadaan di sekelilingnya.
Namun, pada awal, Patricia menyangkakan lelaki terbabit sedang melakukan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan tetapi telahannya meleset.
Susulan kejadian, polis menangkap Austin Clay, 24, kerana disyaki membuat vandalisme.
Bagaimanapun, Brown berkata Clay tidak mendedahkan alasan dia berbuat demikian dan siasatan masih dijalankan.
Sementara itu, presiden dan Ketua Eksekutif Dewan Perniagaan Hollywood, Leron Gubler berkata Walk of Fame dibina bagi meraikan individu yang mempunyai pencapaian cemerlang.
“Apabila terdapat masyarakat yang tidak gembira dengan salah satu daripada penerima penghormatan, kami berharap mereka akan menyalurkan kemarahan itu dengan cara lebih positif daripada merosakkan mercu tanda California,” katanya dalam kenyataan.
Ini bukan kejadian pertama berlaku membabitkan Trump.
Individu yang terkenal dengan siri realiti televisyen itu dilaporkan sudah beberapa kali menjadi sasaran vandalisme dan bantahan sejak beliau terjun ke bidang politik.
Pada April 2016, seorang lelaki - yang bekerja sebagai peniru watak Superman di Hollywood Boulevard - berkata dia melihat ramai pengunjung membuat isyarat lucah pada bintang memaparkan nama Trump itu.
Pada Julai tahun sama, seorang lagi lelaki membina dinding di sekeliling bintang Trump, manakala pada Oktober polis menahan seorang lelaki yang didakwa melakukan kerosakan pada bintang berkenaan dengan tukul dan kapak.

