Bagi individu yang memahami, kadang-kadang sesuatu rezeki hadir bukan dalam bentuk wang ringgit. Apa yang penting ialah hati yang reda dan bersyukur.

Itu yang berlaku pada anak pasangan Tya Ariffin dan Asyraf Khalid apabila media sosial mereka dihujani kiriman doa yang tidak putus-putus.

Menyifatkan ia sebagai hadiah tidak ternilai, aktres yang juga penyanyi dari Indonesia itu berkata keadaan berkenaan berlaku khususnya selepas anaknya, Arif Jiwa Asyraf, memenangi Anugerah Cilik MeleTOP 2018 pada April lalu.

“Arif bawa rezeki kepada keluarga kami kerana kecomelannya.

"Dengan adanya Arif, kami seolah-olah mendapat banyak keluarga baru, dari semasa ke semasa ada saja kenalan yang menggelarkan diri mereka sebagai pak cik dan mak cik kepada Arif.

“Kami juga bersyukur kerana di Instagram ramai netizen yang sering mengirim doa kepada Arif. Antaranya, mereka mendoakan anak kami menjadi orang bijak,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran produk jamu Mutyra Beauty di Kuala Lumpur semalam.

Produk dihasilkan daripada formula nenek-moyang Tya yang direka khas untuk memberi khasiat kepada golongan wanita turut mengandungi kurma, habbatus sauda dan madu.

Berat turun isteri bahagia

Untuk rekod, Arif memiliki hampir 600,000 pengikut di akaun Instagram.

Sementara itu Asyraf juga bersetuju dengan pandangan Tya.

Malah kata anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin itu 'rahmat' buat Arif berlaku tanpa sebarang publisiti murahan.

“Kami tidak perlu buat pelbagai perkara bukan-bukan untuk dapatkan perhatian media, ini satu peluang yang kami anggap rezeki, bukan beban,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas bab-bab penjagaan kesihatan diri, Asyraf berkata, berat badannya susut sebanyak 100kg dalam tempoh tiga bulan kerana memasang azam yang tinggi untuk kekal bertenaga dan sihat.

“Saya banyak amalkan bersenam, tetapi tidak sesekali turunkan berat badan atas paksaan orang sekeliling.

“Asalkan usaha dibuat mengikut keserasian diri, kalau boleh nak turun hingga 80kg. Apabila turun berat badan, isteri akan lebih bahagia,” katanya.