Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ahmad Dhani, Mulan tukar nama menjelang PRU 2019
Diterbitkan:  Jul 26, 2018 9:11 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Menunjukkan kesungguhannya bersaing untuk mendapatkan tempat di parlimen tahun depan, pengasas dan ketua kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani, menukar namanya secara rasmi.

Turut terbabit isterinya Mulan Jameela.

Mulai hari ini dokumen pengenalan diri penyanyi itu dikenali sebagai Ahmad Dhani Prasetyo, manakala isterinya secara rasmi memiliki nama Mulan Jameela.

Ia mungkin bukan sesuatu yang aneh buat peminat dunia seni, namun ia sebenarnya suatu perubahan besar terhadap pasangan suami isteri berkenaan.

Untuk makluman, nama rasmi Ahmad Dhani di kad pengenalannya ialah Dhani Ahmad Prasetyo, manakala Mulan ialah Raden Terry Tanti Wulansari.

Penukaran nama itu dibuat mereka di Mahkamah Daerah Jakarta hari ini.

Menurut Ahmad Dhani, penukaran nama itu hanya untuk jangka masa pendek bagi memenuhi syaratnya untuk menjadi calon dalam pilihan raya umum pada 19 April 2019.

Rela jual rumah

Jika tiada aral melintang Ahmad Dhani akan bertanding untuk kerusi Surabaya, Jawa Timur, manakala Mula di Garut.

- masing-masing dibuat untuk menjadi calon anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Surabaya, Jawa Timur manakala Mulan untuk pemilihan di Garut, Jawa Barat.

“Saya mencalonkan diri di Daerah Pemilihan 1 Surabaya, Mulan pula di Garut.

"Nama kami ditukar agar lebih dikenali oleh masyarakat Indonesia,” kata Ahmad Dhani seperti dipetik Tempo.

Menurutnya rancangan menukar nama secara rasmi melalui mahkamah sudah dirancang sejak sekian lama, namun baru hari ini berjaya dilaksanakan.

“Ayah saya memberi nama Dhani Ahmad Prasetyo, tapi menurut peribadi adabnya nama Ahmad di depan," katanya.

Dalam prosiding tadi, hakim meluluskan permohonan bekas suami Maia Estanty itu dan Mulan.

Menurut hakim permohonan itu diluluskan kerana ia tidak menyalahi undang-undang.

Sementara itu, Ahmad Dhani, 46, sekali lagi akan menjual rumahnya sebagai tanda sokongan untuk memenangkan Presiden Parti Gerindra, Prabowo Subianto sebagai Presiden Indonesia.

Prabowo dijangka akan mencabar Joko Widodo dalam pemilihan akan datang. Ia adalah cubaan kali kedua bekas panglima angkatan tentera Indonesia itu untuk menjadi presiden.

“Kami siap menjual rumah untuk kemenangan Pak Prabowo,” katanya yang popular dengan lagu Hadapi Dengan Senyuman, Larut dan Pupus itu.

Ahmad Dhani dua tahun lalu pernah nekad untuk menjual hartanya termasuk kenderaan dan rumah jika tidak mempunyai wang mencukupi untuk bertanding bagi merebut jawatan gabenor Jakarta.

Ketika itu jawatan tersebut disandang tokoh popular di Indonesia, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok.

Bagaimanapun Ahmad Dhani kemudian membatalkan hasratnya.

Lihat Komen
ADS