Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Syamsul OK saja ada 'hantu Xbox' dalam Munafik 2

Biarpun watak itu sepatutnya menimbulkan elemen seram namun imej yang terpapar pada bahan promosi filem Munafik 2 dijadikan bahan gurauan.

Wajah yang menakutkan itu dikaitkan sesetengah pihak dengan konsol permainan Xbox yang mempunyai pelbagai butang.

Namun di sebalik sendaan itu pengarah Munafik 2, Syamsul Yusof tetap berlapang dada.

Kata Syamsul itu persendaan di media sosial sebegitu sebaliknya membantu mempromosi filem berkenaan secara tidak langsung.

“Terima kasih kepada mereka yang membantu mempromosi filem Munafik 2.

"Memang saya nak perkara-perkara macam ini berlaku kerana ia menunjukkan orang ramai ambil peduli.

“Kalau orang tak peduli, barulah timbul kerisauan.

"Jika kita pandang dari sudut baik, ia bermaksud orang ramai cuba mencari-cari keunikan pada filem ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bertudung boleh lebih seram

Terdahulu, netizen mengusik penampilan watak dimainkan Maya Karin yang penuh dengan kesan luka dan parut.

Walaupun ia dicipta sebegitu untuk menimbulkan kegerunan, ada pihak melihat imej terbabit dari sudut lucu.

Kesan parut itu didakwa seolah-olah butang yang ada pada konsol Xbox kerana kesan kelaran pada wajah Maya Karin menyerupai abjad seperti X, Y, A dan B.

Meskipun dijadual menemui penonton layar lebar mulai 30 Ogos ini, kehangatan bahang sekuel kepada filem Munafik - yang pernah ditayangkan pada 2016 itu - sudahpun dirasai ramai peminat, termasuk di Indonesia.

Sebagai bukti, menurut Syamsul kurang dari 24 jam treler Munafik 2 dilancarkan di Facebook dua hari lalu, kadar tontonannya mencecah sehingga 2 juta.

Dan sehingga semalam, katanya, jumlah itu meningkat kepada 5 juta tontonan.

Munafik 2 bakal menjengah di 100 pawagam di Indonesia pada September depan. Pada masa sama penerbitnya Skop Production Sdn Bhd sedang berbincang untuk menetapkan tarikh rasmi bagi tayangan di Thailand, Vietnam dan Kemboja.

Ditanya mengenai penampilan hantu yang bertudung, Syamsul - atau nama penuhnya Mohd Syamsul Mohd Yusof - berkata dia sengaja mencipta karakter sebegitu bagi membuktikan Islam tidak membataskan kreativiti seseorang.

“Semua bergantung kepada tahap kerohanian pada jiwa seseorang dan pegangan masing-masing, dan saya memilih jalan ini.

"Dah terbukti dengan karakter hantu yang bertudung, ia bertambah seram,” katanya.

Tentang yang Maha Kuasa

Untuk rekod, watak utama yang dirasuk dalam Munafik dilakonkan Nabila Huda tetapi pada Munafik 2 Syamsul memilih Maya Karin (sebagai Sakinah).

Syamsul, 34, yang turut berlakon dalam filem berkenaan membawa watak Ustaz Adam dan berdepan cabaran seorang lelaki yang membawa ajaran sesat.

Semangat jahat dikaitkan dengan lelaki itu menjejaskan ibu tunggal miskin dari sebuah kampung yang terpencil. Ustaz Adam cuba menyelamatkan wanita terbabit daripada kejahatan dan kerasukan.

Melalui Munafik Syamsul dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik dan di peringkat domestik filem berkenaan mencatat kutipan RM17 juta.

Syamsul juga menerima pengikitirafan sebagai Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-28.

Dalam pada itu, Syamsul juga mengulas mengenai Munafik 2 yang dikaitkan dengan kisah seram Siccin.

Katanya dia tidak pernah menonton filem dari Turki itu, sebaliknya hanya mengetahui naskhah berkenaan daripada isterinya, Puteri Sarah Liyana.

“Kalau hendak disamakan sesebuah filem dengan naskhah lain, itu saya anggap normal.

"Untuk membezakan keseluruhan jalan cerita, pengisian kali ini bukan menekankan watak dirasuk, sebaliknya ketakutan kepada yang Maha Kuasa,” katanya.

Lihat Komen
ADS