Hans, Erra sempurna di mata Awie
Datuk Awie mewarnai persembahan Baik Punya Concert 4D dengan gurauan berhubung rakannya, Datuk Hans Isacc yang dianggap sepatutnya memilih Erra Fazira sebagai isteri.
Awie, yang juga merupakan bekas tunang Erra, membuat kenyataan spontan itu ketika menjawab soalan Datuk Afdlin Shauki dalam satu segmen konsert berkenaan.
Jawapan itu kemudian mengundang sorakan dan jeritan penonton yang teruja dengan reaksi selamba diberikan vokalis kumpulan Wings itu.
“Dalam ramai-ramai bekas teman wanita yang pernah menjalin hubungan dengannya, saya rasa dia patut berkahwin dengan Erra," katanya dipetik BH Online.
Konsert berdurasi 90 minit itu turut menampilkan seorang lagi artis, Datuk AC Mizal.
Sebelum ini, Hans dan Erra pernah dikaitkan menjalin cinta, namun hubungan mereka tidak sampai ke jinjang pelamin.
Erra, 44, pula yang kini kembali solo selepas jodohnya dengan Engku Emran Engku Zainal tidak berpanjangan susulan perceraian pada 2014.
Erra juga pernah berkahwin dengan pengarah dan penerbit Yusri Abdul Halim sebelum bercerai pada 2006. Perkongsian hidup mereka hanya bertahan empat tahun.
Hans, 46, yang masih bujang sering disakat oleh tiga rakan baiknya yang masing-masing sudah beristeri.
Dan sesi sakat-menyakat itu pula berlaku sepanjang konsert itu berlangsung.
Selain menonjolkan nyanyian, Baik Punya Concert 4D turut menampilkan naratif mengenai perjalanan hidup keempat-empat sahabat itu yang dipersembahkan menerusi sketsa pendek.
Persembahan masih diteruskan malam ini dan esok.

