Incarcerated Rhythm kisah jujur bekas banduan
Amalan mengeksploitasi subjek untuk kepentingan sendiri dalam menghasilkan sesebuah dokumentari dianggap perbuatan “berbahaya,” kata pengarah Incarcerated Rhythm, Indrani Kopal.
Atas alasan itu, katanya, dia mengambil sikap lebih berhati-hati memaparkan setiap subjek yang ingin dikaji - dalam bab ini Indrani menyorot kehidupan enam bekas banduan yang pernah menjalani hukuman di Woodbourne, New York.
“Kena berhati-hati, jika tidak kamu akan merosakkan kehidupan orang lain.
"Apabila memacak kamera kamu kena fikir sama ada ini tentang kamu atau kisan banduan itu yang sebetulnya.
“Menggunakan orang lain sekadar untuk mengeskploitasi mereka sangat bahaya dalam penghasilan sesuatu dokumentari.
“Tetapi tidak salah jika ada niat untuk menjadi popular, barulah ramai yang akan melihat karya kamu, ini juga akan beri impak lebih besar,” katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Indrani, 39, walaupun sukar untuk menjelaskan antara kaedah diguna pakai, sebolehnya dia cuba mengimbangi visi ingin dicapai di samping menyiapkan sesebuah karya supaya tidak merosakkan kehidupan subjek yang ingin diketengahkan.
Sambungan Game Changer
“Visi saya adalah bagaimana saya ceritakan kisah itu. Saya tidak suka dilihat seolah-olah ingin mempergunakan mereka untuk bercerita.
“Atau mereka juga tidak menggunakan saya pada masa sama,” kata bekas wartawan yang pernah berkhidmat selama enam tahun di Malaysiakini itu.
Mengambil masa hampir lima tahun untuk disiapkan, dokumentari Incarcerated Rhythm berkisahkan perjalanan Andre Noel, Jecoina Vinson, David Montalvo, Andre Kelley, Ray Brito dan Felix Machado selepas lebih sedekad menjalani hukuman penjara.

Ia turut berkisah bagaimana keenam-enam banduan terbabit - yang menyertai program pemulihan menggunakan tarian moden - menjalani kehidupan selepas tiga tahun dibebaskan.
Program pemulihan menggunakan kaedah itu adalah satu-satunya diamalkan di AS.
Dokumentari berkenaan adalah sekuel kepada kejayaan sebuah filem pendek pernah dihasilkan Indrani sebelum ini, Game Changer.
Game Changer yang pernah memenangi pelbagai anugerah di festival antarabangsa mengangkat usaha Susan Slotnick iaitu guru tari yang mengajar banduan terbabit di Woodbourne.
Menyatakan harapannya untuk masa depan Incarcerated Rhythm, pemenang Mira Nair Award for Rising Female Filmmaker di Festival Tahunan Filem Antarabangsa Harlem 2018 itu berkata dia akan terus-menerus memburu trofi bagi memberi nilai tambah kepada dokumentari yang dihasilkannya.
Katanya, setakat ini dia telah menghantar dokumentari berkenaan ke 50 buah festival dan merancang untuk menghantar 50 lagi pada masa akan datang.
“Penerimaan masuk ke mana-mana festival adalah penting buat satu-satu karya dan pengedarannya.
“Festival adalah tempat pengedar datang dan membeli sesebuah naskhah. Lebih banyak penerimaan ke festival, lebih banyak peluang karya kamu akan dibeli.
“Untuk memenangi anugerah, festival adalah tempat seseorang pengarah harus pengarah pergi untuk bertanding dan menang,” katanya yang menghargai mana-mana pihak yang sudi mengesyorkan dokumentarinya ke sesebuah festival.
Selain festival, Indarani juga membayangkan Incarcerated Rhythm akan mendapat slot tayangan di Netflix suatu hari nanti.

