Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nam Ron cadang 'tampar' k'jaan, Bront: Sentuh lebih bermakna
Diterbitkan:  Jul 30, 2018 6:51 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Pelakon dan pengarah filem, Nam Ron, secara berkias menyarankan kerajaan perlu "ditampar" untuk menyedarkan mereka mengenai nasib penggiat seni di negara ini.

Katanya penggiat seni sebenarnya tidak perlu tunduk kepada kerajaan supaya diberikan bantuan.

"Kita, (baca: karyawan) tak perlu mencium kaki pemerintah untuk dapatkan bantuan mereka, tapi kita perlu tampar belakang kepala mereka dan mereka akan mula berfikir tentang kita.

"Itupun masih jauh lagi untuk mendapat bantuan," kata pelakon Redha itu melalui Twitter.

Dia tidak menyatakan secara khusus mengapa langkah tersebut dicadangkannya namun dipercayai meluahkan pendapat sedemikian kerana kerajaan dirasakan belum cukup serius menangani isu membabitkan industri seni kreatif.

Nam Ron berkata orang ramai perlu menyedari seni dan budaya bukan sesuatu yang menjadi keutamaan pemerintah.

Katanya keadaan itu mungkin hanya akan disedari apabila seni dan budaya berjaya mengerakkan revolusi yang mengancam pemerintahan.

"Baru seni dan budaya (akan) menjadi perhatian mereka," katanya.

Bukan itu tujuan seni

Dia yang turut berlakon dalam filem Paloh dan Dukun itu juga menggesa penggiat seni tidak meletakkan harapan 100 peratus kepada kerajaan untuk mengeluarkan produk mereka.

Kata Nam Ron, 47, kebergantungan dalam konteks itu mengakibatkan mereka boleh diibaratkan seperti lembu dicucuk hidung.

“Karyawan yang bergantung pada pemerintah untuk menghasilkan karya tak akan membawa sebarang kebaikan dan perubahan kerana mereka hanya akan diperbudakkan oleh pemerintah,” katanya.

Bagaimanapun, rakan seperjuangannya, Bront Palarae tampil memberi pendapat yang agak berbeza.

Berbanding memilih sikap radikal, Bront yang juga penerbit dan pelakon lebih mengalakkan penggiat seni menunjukkan kemampuan mereka melalui jalan yang berfaedah.

Kerana, katanya, hak untuk memberi bantuan itu terpulang kepada pihak yang sudi manakala selebihnya perlu bergantung kepada keupayaan diri sendiri.

“Tapi aku tidak setuju untuk tampar kepala pemerintah, sebab bukan itu tujuan seni walaupun seni mampu berbuat begitu.

“Membuka mata dan menyentuh lebih bermakna daripada menyakitkan sesiapa.

“Aku rasa kita cuma perlu fokus untuk mempertingkatkan hasil kerja kita saja.

"Bantuan adalah hak pembantu, dan kita tak boleh memaksa sesiapa untuk membantu diri kita kecuali diri kita sendiri," katanya.

Lihat Komen
ADS