Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Selangor 'bakar' semangat patriotik melalui sayembara lagu

Sayembara Nyanyian Patriotik Selangor (SNPS) 2018 kembali untuk tahun kedua bagi menggalakkan orang ramai khususnya belia berkongsi semangat kebangsaan melalui nyanyian.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohd Azizi Mohd Zain, berkata aktiviti itu juga mampu melahirkan generasi memiliki semangat kebangsaan yang tinggi.

“Zaman sekarang dah tak sama macam dulu, itu sebablah kita perlu titik beratkan semangat kebangsaan kepada anak-anak supaya mereka lebih tahu.

“Lagu patriotik menyedarkan orang ramai untuk cintakan negara.

"Apabila seseorang cintakan negara, mereka akan berjuang bersungguh-sungguh untuk tanah air tidak kira sama dari aspek sukan, kebudayaan dan lain-lain," katanya.

Justeru kata Mohd Azizi cara mudah untuk timbulkan semangat kebangsaan itu ialah melalui lagu-lagu patriotik.

Melalui kaedah itu katanya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berharap semangat patriotik golongan muda akan bersemarak.

"Semoga semangat itu bergetar dan bergelora, itu yang cuba kita terapkan dalam program ini,” katanya.

Mohd Azizi (gambar) ditemui pada sidang media SNPS 2018 di Petaling Jaya petang tadi.

Turut hadir komposer Korie Aminuddin, penyanyi Azharina, pengurus artis Jojie Aminuddin, guru vokal Sarah Ismail, Fauzi Yusoff dan bakat baru Dylea.

Sejajar dengan matlamat kerajaan Selangor untuk mengangkat Kota Seni Petaling Jaya dengan lebih gemilang, MBPJ dipilih selaku tuan rumah untuk pertandingan tahun ini.

SNPS 2018 dianjurkan Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan negeri dengan mendapat kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor.

Pertandingan kali ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu bawah 12 tahun, bawah 18 tahun dan 19 tahun ke atas. Ia terbuka sama ada secara solo, duet atau berkumpulan.

Saringan dua hari

Pendaftaran adalah percuma dan peserta perlu menghantar borang penyertaan sebelum 12 Ogos ini.

Borang pendaftaran boleh didapati di Facebook MBPJ atau Facebook Pemadam Selangor atau menghantar e-mel ke [email protected]

Peringkat saringan akan berlangsung selama dua hari berturut-turut mulai 18 Ogos dengan diadili tiga juri iaitu Korie, Jojie dan Sarah.

Empat peserta terbaik bagi setiap kategori akan melangkah ke peringkat akhir pada 22 September di Dewan Sivik MBPJ.

Selain Azharina yang menjadi juara Gegar Vaganza 2016, Korie, Dylea dan Fauzi juga bakal menyampaikan lagu-lagu mereka untuk menyemarakkan malam SNPS 2018.

Untuk kategori bawah 12 tahun, tempat pertama bakal membawa pulang RM1,000, manakala bawah 18 tahun RM1500 dan 19 tahun ke atas RM2,500.

Lihat Komen
ADS