Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Priyanka, Jonas terus hangat dilamun cinta
Diterbitkan:  Aug 5, 2018 6:19 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

Nama mereka meletup nun jauh di arah barat sana namun untuk bercengkerama pasangan terbabit memilih lokasi yang berhampiran dengan Malaysia: Singapura.

Kerana hangatnya cinta yang terjalin, kemesraan Priyanka Chopra bersama kekasihnya, Nick Jonas tetap jelas kelihatan walaupun mereka dijarakkan oleh usia selama 11 tahun.

Dalam konteks negara ini, Jonas lahir ketika Priyanka berada di tahun enam sekolah rendah.

Ada pihak mendakwa, Priyanka, 36, diraikan hari lahirnya dengan pertunangan dengan Jonas.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, majalah People melaporkan Jonas memang gemar berpacaran dengan wanita yang lebih berusia daripadanya.

Katanya ia dapat dilihat kepada bekas pasangan Jonas sebelum ini, seperti Kate Hudson. Kate berusia 37 tahun ketika dia bercinta dengan Jonas yang muda 14 tahun daripadanya.

"Dan Priyanka sangat menawan di mata Jonas," kata sumber tersebut.

Sementara itu Hindustan Times melaporkan Priyanka dan Jonas tiba di Lapangan Terbang Changi bersama-sama sebelum mereka berpesta di salah sebuah pusat hiburan di Singapura.

Jonas terbang ke Singapura untuk memenuhi jadualnya menghiburkan festival muzik serantau sempena sebuah majlis e-sukan di situ.

Dan selayaknya pasangan yang sedang dilamun asmara, Priyanka menyertai Jonas di negara pulau berkenaan.

Menurut media, mereka tiba dengan berpegangan tangan namun sangat berhati-hati bagi mengelak daripada perhatian orang ramai di lapangan terbang tersebut.

Sebelum ini Priyanka turut menemani Jonas ke Brazil. Jonas pula dilaporkan sudah dibawa bertemu dengan ibu bapa pelakon utama Quantico itu di India.

Lihat Komen
ADS