Presiden Papita meninggal dunia
Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik Dan Pencipta Lagu Tanah Air (Papita) Datuk M Daud Wahid menghembuskan nafas terakhir pada umur 75 hari ini.
Melalui kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Persatuan Seniman Malaysia memaklumkan bahawa jenazah Allahyarham akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam No. 2065 Jalan Melayu Kampung Sungai Kandis Seksyen 36 Shah Alam.
Laporan Utusan Online memetik anak Allahyarham sebagai berkata, Allahyarham M Daud meninggal dunia disebabkan kanser prostat yang dihidapi sejak tahun lepas dan kompilasi jantung selepas dimasukkan ke hospital minggu lalu.
“Ayah memang kurang makan sejak kebelakangan ini dan keadaan kesihatannya semakin merosot sejak minggu lepas. Kami menghantarnya ke hospital Sabtu lalu untuk mendapatkan rawatan.
“Sepanjang di hospital, ayah kurang bercakap dan hanya bercita tentang keluarga dengan anak cucu. Dia pergi dengan tenang,” katanya dipetik sebagai berkata.
Allahyarham yang sudah 18 tahun memegang jawatan Presiden Papita mula terlibat dengan industri hiburan seawal 1964 sebagai penyanyi pancaragam.
Semasa hayatnya, Allahyarham sempat menerbitkan album lagu kanak-kanak.

