Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Ketika usianya hampir mencecah "six series" ada segelintir pihak mula mencurigai kualiti vokal yang boleh ditawarkan Saleem ketika dia membuat persembahan.

Namun tidak goyah dengan kesangsian itu Saleem nekad mahu membuktikan dirinya masih ‘berbisa’ dan akan menunjukkan kemampuannnya dalam bidang seni tarik suara yang sudah digelumanginya sejak lebih 30 tahun lalu.

'Bisa' Saleem itu akan ditunjukkan - bukan dalam satu tapi pada dua - persembahan berasingan tidak lama lagi.

Menurut bekas vokalis kumpulan Iklim itu, dia dalam perancanggan untuk menyatukan kembali kumpulan tersebut melalui sebuah persembahan istimewa di Johor Bahru.

“Persembahan ini akan dilakukan kerana ada permintaan daripada peminat di Johor yang merindui lagu-lagu Iklim dulu.

“Saya nak ia dilaksanakan secepat mungkin, kalau boleh pada November depan, insya-Allah,” katanya.

Saleem - atau nama sebenarnya A M Salim Abdul Majeed - ditemui pada sidang media Saleem Live In KL di Kuala Lumpur kelmarin.

Bukan kecil tapi besar

Ditanya mengapa Johor Bahru menjadi lokasi pilihan untuk menyatukan Iklim, Saleem berkata: “Pengaruh peminat begitu kuat di Johor, selain ia dekat dengan Singapura.”

Bagaimanapun, tarikh rasmi atau lokasi persembahan berkenaan akan dimaklumkan kemudian.

Untuk rekod, penyanyi bersuara serak-serak basah itu pernah menawan hati peminat melalui konsert amal, Showcace Saleem Raja Balada di Matic, Kuala Lumpur pada April lalu.

Ia mendapat sambutan memberangsangkan dengan kehadiran lebih 400 orang.

Iklim sememangnya bukan kumpulan rock biasa-biasa. Sebelum berpecah akibat dilanda kontroversi demi kontroversi, banyak lagu-lagu mereka yang menjadi siulan ramai.

Kumpulan itu pernah mengadakan reunion pada 2015 melalui siri konsert termasuk beraksi di Istana Budaya selepas 11 tahun menyepi.

Menyatakan harapannya untuk bersatu kembali kata Saleem dia ingin memastikan tiada masalah atau isu akan timbul yang boleh menjejaskan hasratnya itu.

“Kecil tapak tangan stadium Bukit Jalil saya tadahkan.

"Saya nak lihat keberkesanan Iklim pada persembahan itu nanti kerana nama kumpulan ini bukan kecil, tapi besar. Jadi pelakon-pelakon handalan dalam tu kena buat yang terbaik,” katanya.

Berkongsi lanjut perancangannya, Saleem berkata dia juga akan tampil secara solo sempena Saleem Live In KL di House, G Tower pada 9 Sept ini.

Kata Saleem, sebanyak 20 buah lagu yang 'berpengaruh' pada era 1990-an akan disampaikan pada malam itu dengan diiringi pemuzik seperti Lola dari kumpulan XPDC, Eddie Def Gab C, Lan Dragon Malaya dan Fuad.

“Saya akan nyanyi lagu seperti Bukan Niatku, Suci Dalam Debu, Juwita selain lagu Inggeris, Soldier Of Fortune.

“Konsep kali ini santai, terbahagi pada dua segmen. 

"Saya harap semua peminat boleh menyanyi bersama manakala pada persembahan pembuka kita akan tampilkan Qody,” katanya.

Tiket sudah mula dijual, untuk pertanyaan lanjut sila hubungi Azroy di talian 012-2679323 atau Azam 019-5936465.

Lihat Komen
ADS