Seni & Hiburan Malaysiakini

Bangkit Estranged ajak rakyat kenang sejarah 9 Mei

Nadia Azam  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

“Bangkitku ke arah
semua yang dijanjikan
seperti kita katakan...”

Itu sebahagian lirik ‘berhantu’ dalam lagu Bangkit dinyanyikan kumpulan Estranged sempena meraikan Malaysia Baru.

Tugu negara, Jalur Gemilang, bangunan Sultan Abdul Samad hingga ke puncak Gunung Kinabalu - semuanya menggambarkan semangat patriotisme sesuai dengan kemunculan Malaysia selepas peristiwa bersejarah pada 9 Mei lalu.

Itu semua terpapar dalam video klip Bangkit yang menjadi lagu tema Pesta Harapan Malaysia 2018 anjuran Malaysiakini yang bakal berlangsung mulai 14 Sept ini.

Estranged pula akan muncul dalam persembahan Konsert Countdown bermula pada jam 6 petang, 15 Sept ini di Padang Timur, Petaling Jaya.

Vokalis Estranged, Rich, berkata mesej Bangkit ialah supaya semangat cintakan negara dapat dibakar menjadi lebih marak, selain mengingatkan rakyat negara ini mengenai perjuangan mereka melalui pilihan raya umum (PRU) ke-14 hingga ke kemuncaknya pada 9 Mei lalu.

Bangkit ada kaitan dengan cabaran dilalui semua orang. Ia juga dikaitkan dengan pembangunan negara.

“Kami mendapati ia sesuai terutama selepas negara melalui sesuatu yang mencabar,” kata penyanyi yang memiliki nama asal Richael Lawrence Gimbang itu kepada Malaysiakini.

Bangkit turut menampilkan sebilangan kakitangan Malaysiakini, termasuk Ketua Pengarang Kumpulan Steven Gan dan Ketua Pegawai Eksekutif Premesh Chandran.

Ia dirakam pada Julai lalu di ibu pejabat Malaysiakini.

Pemain gitar Estranged, Solihuddin Hormat atau Din pula berkata Bangkit mengajak orang ramai berusaha gigih menggapai sesuatu yang diidamkan, selain mengajar seseorang supaya tidak mengaku kalah selagi keinginan belum digenggam.

“Apa pun terjadi, kita lakukan apa saja untuk dapatkan impian kita tu. Jangan mengalah, dan terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Selain Rich dan Din, Estranged yang ditubuhkan pada 2001 itu turut dianggotai oleh seorang lagi pemain gitar, Nor Hanafi Noor Hadi.

Selain Estranged, antara artis yang akan turut menyertai Pesta Harapan 2018 adalah Jaclyn Victor, Bunkface, Couple, Soo Wincci, Sly Squad, Mad August, Papi Zak, Kevin Jay dan ramai lagi.

Pelbagai aktiviti lain turut disusun untuk memeriahkan pesta berkenaan, termasuk Larian Harapan yang akan diadakan pada 16 Sept, WESG Malaysia Tournament (21-23 Sept), Voice for Nation Building (14 Sept) dan Alibaba Entrepreneurship (25-26 Sept).

Ia adalah acara sulung dianjurkan Malaysiakini dan dikendalikan oleh Events @ Malaysiakini dengan usahasama rakan strategik antaranya Unifi, AirAsia, Boost, Malindo Air dan Country Heights Holding Berhad.