Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kebencian netizen sukarkan LGBT kembali ke pangkal jalan

Pencetus Ummah (PU) musim ke-2, Azman Syah Alias berkata pihak yang cuba menangani penularan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) perlu menggunakan mekanisme yang memberi kesan lebih menyeluruh.

Menurut Azman, cara yang paling dirasakan berkesan adalah dengan tidak bersikap mudah menjatuhkan hukum terhadap golongan sedemikian.

Namun katanya, ada segelintir pihak yang tidak adil dalam soal ini, terutamanya warga alam maya kerana mereka dilihat begitu senang melemparkan kata-kata berbentuk kecaman.

“Netizen menghukum golongan LGBT seolah-olah mereka tidak akan berubah. Ada kalanya nasihat yang diberikan (kasar) akan buatkan mereka lebih bersikap menjauh,” katanya.

Azman ditemui pada majlis produk pelancaran dan memperkenalkannya sebagai duta Aurawhite di Batu 9 Cheras, Selangor baru-baru ini.

Ketika ini, isu LGBT hangat dibahaskan di seluruh negara apabila aktivis sosial, Datin Marina Mahathir menuntut komuniti itu diberikan hak kesamarataan dari sudut asasi.

Marina mendakwa, komuniti LGBT berdepan diskriminasi dalam kehidupan seharian akibat stigma masyarakat.

Selain itu, penurunan gambar dua aktivis LGBT di ruang pameran fotografi Stripes and Strokes di George, Town, Pulau Pinang atas arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa turut mengundang perhatian ramai pihak.

Mengulas lanjut, Azman berkata, sewajarnya gejala songsang LGBT dibasmi tetapi bukanlah menidakkan hak asasi mereka sebagai manusia untuk terus hidup.

Kata graduan lulusan Universiti Al Azhar, Mesir itu lagi, dalam menyantuni komuniti LGBT pula, tidaklah sehingga keseluruhan tuntutan mereka diterima dan diberikan pengiktirafan.

“Kita tengok apa mereka perjuangkan sama ada ia bertentang agama atau tidak, tetapi kalau seorang lelaki didapati memakai baju kurung, nabi laknat.

“Dalam satu kisah, terdapat seorang lelaki yang datang bertemu dengan nabi dan membuat lawak, baginda tergelak.

“Tetapi pada waktu lainnya, lelaki itu didapati minum arak dan nabi memukul dia, ini menggambarkan tegas dan marah tidak pernah menafikan kecintaan nabi pada dia,” katanya.

Lihat Komen
ADS